Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK, KERAJAAN NEGERI SABAH SEPAKAT PERKASAKAN INDUSTRI AGRIKOMODITI PERINGKAT HULUAN

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali 5 April 2021 lalu melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di pejabat beliau di Kota Kinabalu, Sabah. Kunjungan tersebut adalah rangka kerja bagi memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.

2. Di dalam perbincangan yang berlangsung lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mencapai beberapa kesepakatan bagi memaju dan memperkasakan sektor agrikomoditi di Sabah khususnya di peringkat huluan. Kerjasama yang bakal dijalinkan ini melibatkan empat sektor agrikomoditi iaitu buluh, koko, getah dan sawit.

3. Dalam sektor buluh, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Peranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ialah memadankan dengan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi itu nanti.

4. KPPK dan Kerajaan Kegeri juga berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pengeluar koko yang unggul. Justeru, suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak bagi meningkatkan dan saiz ladang koko. Usaha ini dijangka dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka lebih-plebih lagi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

5. Persetujuan konsensus turut dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip. Ini bersesuaian dengaan Sabah yang mempunyai ramai pekebun getah.

6. Persefahaman yang dipersetujui seterusnya adalah dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). Beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo. Ia bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti-aktiviti baharu yang berterusan.

7. KPPK berharap kerjasama erat yang dijalinkan dengan Kerajaan Negeri Sabah ini, bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
10 April 2021