
KENYATAAN MEDIA
PENGHASILAN FIBER BULUH PEMANGKIN PROGRAM PERTANIAN
KOMUNITI BULUH 2021-2025
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Dato’ Dr. Mohd Khairudin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh
2. Buluh merupakan tumbuhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Inisiatif para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) di bawah FTK telah menghasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat (fiber). Kepelbagaian aplikasi produk daripada serat mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.
3. Melalui kerjasama UTHM dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji dalam penentuan keboleh pemprosesan serat daripadanya. Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar.
4. Memandangkan kepada potensi tanaman komoditi ini yang tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas. Sehubungan itu juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh. Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025.
5. Penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah (crude fiber). Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.
6. Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan. Penganjuran Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industribuluh negara khususnya Kementerian.
7. Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti berkenaan bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir 1 hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan,geotextile dan produk tekstil.
8. Kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Pagoh, Johor
30 Mac 2021
