
KENYATAAN MEDIA
PROJEK PEMANTAUAN DAN PELAPORAN TRANSAKSI BUAH TANDAN SEGAR JEJAK PENJUALAN SAWIT CURI
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini melancarkan Projek Rintis Pemantauan dan Pelaporan Transaksi Buah Tandan Segar (BTS) di Tanjung Piai, Johor. Projek berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dalam industri sawit bagi pekebun kecil persendirian dan peniaga buah sawit untuk perkembangan industri sawit negara.
2. Sistem itu dibangunkan bagi menggalakkan pekebun kecil persendirian mengamalkan penyimpanan rekod penyelenggaraan kebun dan rekod hasil secara konsisten serta tepat. Bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan selaras dengan kemajuan teknologi masa kini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang membangunkan sistem secara dalam talian untuk projek berkenaan.
3. Buat masa ini, tiada sebarang sistem yang spesifik untuk merekod hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian. Justeru, sukar untuk MPOB memberikan perkhidmatan pengembangan yang efektif tanpa makkumat data hasil, kos pengeluaran serta keuntungan yang diperoleh. Sistem baru ini ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dalam urus niaga transaksi buah tandan segar dan pada masa yang sama mampu mengumpulkan rekod pendapatan pekebun kecil persendirian termasuk fungsi untuk memantau penjualan buah sawit curi, penjualan tanpa lesen, penggunaan lesen individu lain tanpa kebenaran, peniaga buah yang kurang jujur dan isu-isu lain.
4. Di samping itu, data hasil merupakan satu kriteria penting yang dinilai di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dengan pembangunan sistem seperti ini, aspek kebolehjejakan (traceability) dalam skim pensijilan MSPO juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan telus. Data hasil BTS yang menyeluruh dan tepat membolehkan ejen pengembangan membandingkan hasil sawit dan mengenal pasti sebarang perbezaan yang ketara yang diperoleh daripada pekebun kecil persendirian. Melalui pembangunan sistem ini, MPOB akan dapat memantau hasil dan harga BTS yang diterima oleh pekebun kecil persendirian dengan lebih cepat dan tepat. Selain itu, penjualan BTS tanpa lesen juga dapat dikenal pasti yang berupaya mengurangkan masalah penjualan BTS secara tidak sah.
5. Projek rintis ini akan melibatkan seramai 6,045 orang pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit seluas 11,954.21 hektar, 33 peniaga buah sawit (DF) dan sebuah kilang sawit di dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai. MPOB telah mewujudkan tiga Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di kawasan ini dalam usaha untuk mempersijilkan pekebun kecil persendirian dengan Pensijilan MSPO. Sehingga kini, sebanyak 43 SPOC telah dipersijilkan MSPO membabitkan seramai 27,263 pekebun kecil dengan keluasan 69,969.46 hektar di Johor. Di kawasan Tanjung Piai, sebanyak 1,770 pekebun kecil dengan keluasan mencecah 4,100 hektar telah dipersijilkan MSPO.
6. Pekebun kecil persendirian perlu mematuhi peraturan pelesenan MPOB dengan memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang. MPOB akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk pekebun kecil persendirian yang menjalankan aktiviti jual beli BTS tanpa lesen termasuk tindakan mahkamah bagi membendung aktiviti tidak sihat dalam industri ini.
7. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan usaha MPOB ini akan meningkatkan lagi ketelusan dan kecekapan transaksi BTS di seluruh negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Tanjung Piai, Johor Darul Takzim
28 Mac 2021
