
KENYATAAN MEDIA
LAWATAN KERJA
DATO’ SRI DR. WEE JECK SENG
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
KE LEMBAGA KOKO MALAYSIA, NILAI, NEGERI SEMBILAN,
10 MAC 2021
1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia, di Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2021 bagi meninjau pembangunan aktiviti penyelidikan hiliran koko.
2. Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Nilai adalah pusat yang menjalankan aktiviti Penyelidikan & Pembangunan (R&D), menyediakan khidmat analisis, pengeluaran blok coklat dan coklat
Chocolate Royale, aktiviti unit pembangunan usahawan coklat buatantangan, aktiviti unit pelesenan dan kawalan kualiti.
3. Antara penyelidikan hiliran yang sedang dilaksanakan di pusat ini adalah produk penjagaan diri, kosmetik, bahan untuk farmaseutikal, produk ais krim lemak koko, kajian berkaitan perisa koko, bahanwangian daripada koko, tablet minuman koko, kajian mengenai keselamatan produk dan penyelidikan bioteknologi koko. Pada tahunlepas, sebanyak 10 produk hasil kajian LKM telah dikomersialkan.
4. Makmal Khidmat Analisis LKM di PITK Nilai telah diakreditasi di bawah standard ISO/IEC 17025:2017. Sebanyak 32 analisis ditawarkan yang terdiri daripada analisis fiziko-kimia, proksimat, analisis sisa-baki pestisid, kandungan cemaran logam berat, mikrobiologi serta sensori.
5. Chocolate Royale Plant adalah satu entiti untuk menguruskan penghasilan dan penjualan blok coklat susu, pahit, kompaun coklat susu, praline dan produk siap panned. Produk blok coklat susu, pahit, kompaun coklat susu, praline dan produk siap panned yang dihasilkan setiap hari bagi memenuhi permintaan harian dan tempahan.
6. Unit Pembangunan Usahawan Coklat (UPUC) di pusat ini menyediakan perkhidmatan kursus asas dan kursus lanjutan pembuatan coklat buatan tangan kepada sesiapa yag berminat serta klinik usahawan untuk pembangunan para usahawan coklat.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
10 MAC 2021
