Jata

KENYATAAN MEDIA

KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021 SASARKAN

3,000 PENCARI KERJA

  1. Dalam usaha menarik lebih ramai rakyat negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan yang baik, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan menganjurkan Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 secara maya dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 9 dan 10 Mac 2021. Karnival kerjaya ini menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dalam kalangan warga tempatan dan komuniti Orang Asli dengan menawarkan sebanyak lebih dari 1,000 kekosongan jawatan di sektor perladangan dan industri komoditi.
  1. Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 ini akan dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan pada 9 Mac 2021 (Selasa) jam 9 pagi yang boleh ditonton melalui pautan https://bit.ly/3rguSgY manakala pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my. Selain sesi temuduga secara maya, sesi taklimat berhubung Penjana Kerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’ akan turut diadakan.
  1. Semua pihak terutamanya golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia adalah dijemput untuk menyertai karnival kerjaya ini bagi merebut peluang pekerjaan di sektor agrikomoditi serta dapat merealisasikan usaha Kerajaan dalam menangani isu pengangguran di negara ini.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Putrajaya
5 Mac 2021