
KENYATAAN MEDIA
EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN TAHUN 2021 DISASARKAN BERNILAI RM23 BILION
1. Prestasi eksport sektor perkayuan bagi tahun 2020 telah menunjukkan pencapaian yang baik meskipun pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Nilai eksport yang direkodkan adalah RM22.02 bilion dengan mencatatkan penurunan sebanyak 2 peratus berbanding RM22.5 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.
2. Prestasi berkenaan menunjukkan fasa pemulihan positif jika dibandingkan dengan industri lain yang mencatatkan penurunan sangat ketara akibat cabaran bekalan bahan mentah dan permintaan pasaran kesan pandemik COVID-19. Nilai eksport perkayuan mulai meningkat secara bulanan mulai Mei hingga Disember 2020 iaitu semasa fasa pemulihan. Syarikat-syarikat pengeluar produk kayu terutamanya perabot kayu, tanggam, papan lapis dan kayu kumai kembali rancak beroperasi untuk memenuhi tempahan pasaran eksport.
3. Prestasi eksport produk bernilai tambah tinggi seperti perabot, tanggam dan kayu kumai mencatatkan peningkatan 11 peratus dengan jumlah eksport RM12.3 bilion berbanding RM11.1 bilion pada tahun 2019. Daripada jumlah eksport ini, perabot kayu masih kekal sebagai produk utama dengan peningkatan eksport yang ketara sebanyak 16 peratus kepada RM10.6 bilion berbanding RM9 bilion pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, kayu tanggam dan kayu kumai mencatatkan sedikit penurunan masing-masing sebanyak 6 peratus dan 21 peratus kepada RM972 juta dan RM688 juta berbanding RM1 bilion dan RM872.1 juta tahun 2019. Manakala, bagi produk utama seperti kayu gergaji mencatat penurunan eksport sebanyak 29 peratus kepada RM2.4 bilion berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya.
4. Selain itu, eksport papan lapis bagi tahun 2020 mencatat penurunan sebanyak 17 peratus kepada RM2.8 bilion berbanding RM3.8 bilion pada tahun 2019. Ia disebabkan oleh penurunan eksport ke Jepun yang merupakan pembeli utama papan lapis negara kerana penguncupan industri pembinaan serta persaingan daripada negara pengeluar yang lain seperti Indonesia dan China.
5. Pasaran utama bagi sektor perkayuan yang menunjukkan peningkatan ialah Amerika Syarikat (AS) dan China. Kedua-dua pasaran ini menyumbang sebanyak 44 peratus dari eksport keseluruhan Malaysia. AS mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus kepada RM7.4 bilion berbanding RM5 bilion bagi tahun 2019. Peningkatan ini dipengaruhi oleh rangsangan Kerajaan AS kepada ekonominya untuk industri pembinaan semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan dalam e-dagang yang membawa kepada pertambahan permintaan negara itu terhadap produk kayu Malaysia. Manakala, China mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.8 bilion tempoh yang sama pada tahun 2019.
6. Secara keseluruhan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus berusaha bagi memastikan industri perkayuan kekal kompetitif di pasaran global dan domestik. Pada masa yang sama, KPPK akan sentiasa memantau pihak industri untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kementerian berkeyakinan prestasi eksport mampu mencapai RM23 bilion pada 2021 terutamanya dengan adanya vaksin yang dijangkakan dapat meredakan pandemik COVID-19. Dengan pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di AS dan China serta kadar permintaan dari negara-negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang tahun 2021.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
21 Februari 2021
