Jata

KENYATAAN MEDIA

MAKLUM BALAS GESAAN YAB PERDANA MENTERI

BERHUBUNG KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT

  1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik gesaan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta semalam untuk terus mengukuhkan kerjasama Malaysia dengan Indonesia bagi menentang diskriminasi ke atas minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain.
  1. YAB Perdana Menteri dalam sidang media bersama Presiden Indonesia telah menzahirkan kebimbangan kedua-dua negara berikutan kempen antiminyak sawit. Kempen berkenaan adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit yang sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara. Kempen itu juga adalah bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
  1. Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri juga telah memaklumkan bahawa Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang ke atas EU melalui WTO pada 15 Januari 2021. Pemakluman ini adalah seiring dengan kenyataan saya yang dikeluarkan pada 15 Jan 2021 sejurus penfailan tersebut dilakukan. Tindakan sama juga telah diambil oleh Indonesia ke atas EU pada Disember 2019.
  1. Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia untuk menentang diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak. Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan industri sawit. Indonesia dan Malaysia yang masing-masing merupakan negara pengeluar pertama dan kedua terbesar di dunia, juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan dan memelihara industri sawit di kedua-dua negara.
  1. Selaku Menteri, saya yang bertanggungjawab menjaga kepentingan industri sawit, akan berusaha sehabis baik bagi melindungi industri komoditi negara ini. Selaras dengan gesaan YAB Perdana Menteri supaya kerangka CPOPC diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutamanya Malaysia dan Indonesia, saya akan berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat.

 

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya

6 Februari 2021