
KENYATAAN MEDIA
KPPK SUMBANG 230 TILAM BERASASKAN KENAF BERNILAI
RM40,000 DALAM MISI BANTUAN PRIHATIN BANJIR DI TEMERLOH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini meneruskan Misi Bantuan PrihatinMangsa Banjir Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di kawasan yang antara terjejas teruk iaitu Temerloh. Berdasarkan Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), data sehingga jam 5 petang hari ini menunjukkan, sebanyak 117 keluarga dengan 392 mangsa masih berada di sembilan Pusat Pemindahaan Sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan daripada jumlah 1,775 keluarga dan 6,148 mangsa di seluruh Pahang.
2. Sumbangan pada misi kali ini yang diketuai YB Menteri sendiri, membabitkan sumbangan sebanyak 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf bernilai hampir RM40,000 selain barangan keperluan lain kepada 230 keluarga yang terjejas di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh, Pahang. Tilam kenaf berkenaan adalah sumbangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam usaha mempromosikan barangan kenaf sebagai salah satu produk komoditi yang mempunyai masa hadapan yang baik. Kesemua sumbangan disampaikan oleh YB Menteri pada majlis ringkas di PASTI Darul Ansar, Lanchang. Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh.
3. KPPK dan agensi-agensi di bawahnya termasuk Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), LKTN, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk bantuan kepada mangsa bah besar kali ini yang sebahagian besar mereka, adalah dalam kalangan petani dan pekebun kecil getah serta sawit. Sebanyak empat misi sudah disempurnakan sebelum ini iaitu di Raub, Chenor, Kemaman di Terengganu dan Kluang di Johor sepanjang minggu lalu.
4. Misi kemanusiaan KPPK ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha Kementerian membantu rakyat yang ketika ini ditimpa musibah di negeri-negeri yang terjejas. Kementerian turut merancang untuk melancarkan misi bantuan pasca banjir apabila semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masingmasing sebaik sahaja dibenarkan oleh pihak berkuasa.
5. Marilah sama-sama kita berdoa supaya Allah SWT segera mengakhirkan segala musibah dan bencana yang sedang dihadapi oleh negara kita termasuk pandemik COVID-19 agar segala perancangan untuk meningkatkan dan memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakya dapat dilaksanakan dengan baik.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Temerloh
15 Januari 2021
