
KENYATAAN MEDIA
2,500 HEKTAR LADANG KENAF KOMERSIAL LEMBAH KENAF
KORIDOR UTARA DIBANGUNKAN MELALUI PERKONGSIAN
AWAM SWASTA (PPP)
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke Ladang Kenaf Chuping, Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) di Perlis dan Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah.
2. Sempena lawatan kerja ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kenaf Venture Global Sdn Bhd (KVG) dan SIRIM Berhad juga telah dimeterai yang merupakan kerjasama strategik bagi pembangunan kilang perintis kenaf di CVIA. KVG adalah syarikat yang sedang giat mengembangkan perusahaan kenaf, melibatkan pembangunan ladang seluas 1,000 hektar di Perlis dengan sasaran pelaburan RM50 juta sehingga tahun 2025.
3. Turut diadakan ialah Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian kepada pengusaha ladang kluster biji benih kenaf di Kedah melibatkan keluasan 150 hektar selama 5 tahun. Hasil dari inisiatif ini, unjuran pengeluaran biji benih adalah sebanyak 45,000 kilogram dengan pendapatan sebanyak RM1.13 juta setahun.
4. Pembangunan wilayah ini sebagai hub pengeluaran kenaf adalah inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) dengan unjuran pelaburan swasta sebanyak RM100 juta bagi tempoh 2021-2030 melalui inisiatif pembangunan Lembah Kenaf Koridor Utara (NCKV). Ia menyasarkan pembangunan ladang kenaf komersial seluas 2,500 hektar di Perlis, Kedah dan Perak. Pembangunan pelbagai industri hiliran seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), pulpa untuk pembungkusan mesra alam, biokomposit dan makanan ternakan diwujudkan bagi menyokong limpahan bahan mentah kenaf.
5. Dalam usaha memastikan pengeluaran kenaf terjamin dan berkualiti tinggi, LKTN juga telah membangunkan dua pusat pemprosesan biji benih kenaf di Berseri, Perlis dan Jitra, Kedah. Pusat Benih di Jitra mempunyai kapasiti pemprosesan benih sehingga empat (4) tan sehari. Fasiliti ini juga turut menyokong pembangunan tanaman kenaf bagi pengeluaran benih sehingga 1,000 hektar di kawasan sekitar melibatkan pekebun-pekebun kecil di Kedah dan Perlis. Kementerian berharap agar inisiatif ini akan dapat membantu perkembangan industri kenaf serantau dan antarabangsa.
6. Kementerian juga melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri kenaf dipertingkat. Ini penting agar industri ini terus berdaya saing dan mapan di samping menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Jitra, Kedah
16 Oktober 2021
