
MALAYSIA DAN IRAN TEROKA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN
TINGKATKAN DAGANGAN MINYAK SAWIT MALAYSIA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum mengenai hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia sehingga 1 juta tan setiap tahun. Sehubungan itu, semasa pertemuan antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan delegasi Iran yang diketuai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai 2021, Malaysia dan Iran bersetuju untuk meneroka memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan meningkatkan eksport sawit Malaysia ke negara berkenaan tidak lama lagi.
2. Pada pertemuan berkenaan, Yazdan yang juga Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran menyatakan kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun dan memaklumkan hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Malaysia menguasai 78 peratus pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020.
3. Pada tahun lalu, Iran mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta. Bagaimanapun, jumlah eksport minyak sawit negara ke Iran meningkat lebih 400 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 iaitu sebanyak 238,683 tan bernilai RM970 juta berbanding 50,889 tan dengan nilai RM131.5 juta sahaja dalam tempoh sama pada tahun 2020.
4. Kerajaan Iran memaklumkan bahawa kapasiti penapisan minyak sawit negara itu kini meningkat dua kali ganda manakala industri
pembungkusan mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberansangkan ketika ini. Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara rantau itu yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun.
5. Iran yang kini berhadapan dengan sekatan ekonomi, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perdagangan dengan negaranegara terpilih. Misi utama GTC ialah untuk membekalkan bahan makanan kepada rakyat negara berkenaan.
6. KPPK berharap MOU berkenaan dapat dimeterai antara kedua-dua negara melalui agensi yang berkaitan dalam usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia di samping dapat memainkan peranan utama membantu rakyat negara itu memperoleh bekalan makanan dalam situasi sukar pandemik COVID-19 dan sekatan ekonomi.
DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
17 Julai 2021
