Jata

KENYATAAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI CATAT PENDAPATAN EKSPORT RM68 BILION PADA JANUARI-APRIL 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Webinar Kenaf Siri 1/2021 bertajuk Hala Tuju Industri Kenaf. Program ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

2. Webinar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kumpulan sasar yang terlibat berkaitan perkembangan semasa industri kenaf, hala tuju industri selaras dengan dasar-dasar sedia ada seperti Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK), Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dan lain-lain lagi.

3. Selain itu, program-program pembangunan kenaf yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia di samping inisiatif berterusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi memperkasa sektor ini melalui Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 juga turut dikongsikan dalam webinar ini.

4. Sektor agrikomoditi mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari sehingga April 2021. Nilai eksport komoditi turut mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan dengan peningkatan sebanyak 66.5 peratus berbanding 40.9 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

5. Dalam usaha menyokong pembangunan industri kenaf, Kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif kepada kumpulan sasar yang terlibat. Antaranya ialah insentif tanaman, bantuan sokongan bahan mentah, fasiliti dan teknologi pemprosesan, khidmat nasihat dan sebagainya.

6. Dianggarkan seramai 500 peserta menyertai webinar ini dari pelbagai sektor seperti agensi awam dan swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, persatuan, pemain industri serta usahawan kenaf. LKTN juga merancang untuk mengadakan dua sesi webinar dalam masa terdekat dengan memberi tumpuan kepada penemuan hasil penyelidikan dan inovasi oleh institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan serta usahawan kenaf yang terlibat dalam pembangunan produk kenaf.

7. Selaras dengan matlamat Kementerian ini untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu, usaha konsisten akan terus dilaksanakan agar permintaan produk berasaskan kenaf yang mempunyai nilai tambah tinggi dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri termasuklah pembinaan, biokomposit, dan lain-lain lagi.

8. Kementerian melalui LKTN akan terus memastikan program-program yang berkaitan dengan pembangunan industri dan modal insan seperti webinar ini terus diadakan secara berterusan. Ia penting agar aspirasi Kerajaan dalam memastikan industri kenaf terus berkembang pesat walaupun dalam situasi mencabar penularan pandemik COVID-19 dapat diteruskan.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
8 Julai 2021