
KENYATAAN MEDIA
WTO TUBUH PANEL TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS KESATUAN EROPAH BERIKUTAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Body (DSB) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersidang pada 28 Mei 2021.
2. DSB dalam mesyuaratnya telah bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).
3. Terdahulu, permohonan pertama bagi penubuhan panel ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021. Namun begitu, permohonan tersebut tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO.
4. Permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO. Permohonan ini diambil berikutan tiadanya penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac 2021 lalu.
5. Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari 2021. Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
6. Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit. Malaysia melalui KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya dalam proses ini demi mempertahankan industri sawit negara.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
31 Mei 2021
