Jata

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN MALAYSIA KOMITED PASTIKAN TOP GLOVE SENTIASA MEMATUHI PERATURAN ILO BERKAITAN BURUH PAKSA

1. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian tindakan terkini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

2. Dakwaan yang dibangkitkan oleh CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove. KPPK dimaklumkan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil oleh pengurusan Top Glove untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

3. Antara langkah yang diambil oleh syarikat berkenaan ialah mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac 2021 untuk dinilai. Di samping itu, syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan oleh pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera. Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac 2021 mengesahkan, bahawa tidak ada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.

4. KPPK turut dimaklumkan pada tahun lalu, syarikat berkenaan telah membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar zero cost recruitment dan social compliance audit yang dilaksanakan oleh syarikat sejak 2019.

5. Amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia Prihatin termasuk oleh KPPK di semua sektor agrikomoditi kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja, sekali gus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.

6. Komitmen Malaysia itu dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil ILO selama dua tahun bermula pada 2018.

7. KPPK melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan memperingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan bersama.

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
2 April 2021