Jata

KENYATAAN MEDIA


KPKK YAKIN STRATEGI PEMULIHAN EKONOMI PEMERKASA SINERGI MELONJAKKAN SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) semalam.

2. Melalui Inisiatif Kesembilan PEMERKASA menerusi Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi ini, peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta. Semasa Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.

3. Selain itu Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi selepas ini oleh KPPK bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

4. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen tidak berbelah bahagi oleh kementerian bagi memastikan sentiasa bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara.

5. Dengan adanya dana tambahan ini, KPPK yakin sasaran eksport sawit pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM75 bilion mampu dicapai berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan. Ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara. Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019.

6. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat

 

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Mac 2021