Jata

KENYATAAN MEDIA

SESI KONSULTASI MALAYSIA-KESATUAN EROPAH (EU): KERAJAAN KOMITED TERHADAP PROSES PERUNDANGAN KE ATAS EU DEMI PERTAHANKAN INDUSTRI SAWIT NEGARA

1. Malaysia pada 17 Mac 2021, telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama Kesatuan Eropah (EU) berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara. Pelaksanaan sesi ini adalah susulan daripada permohonan Kerajaan Malaysia untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah dibuat pada 15 Januari 2021.

2. Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara (AG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain berkaitan. Sesi konsultasi ini diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali. Sesi tersebut turut dihadiri oleh wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

3. Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia.

4. Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi diadakan. Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.

5. Komitmen terhadap proses perundangan terhadap EU berhubung isu antiminyak sawit akan terus menjadi keutamaan KPPK dalam memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
19 Mac 2021