Jata

KENYATAAN MEDIA

RUBBER FORUM 2021: MANFAATKAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEKTOR GETAH TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL

1. Industri getah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2020, industri getah telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sebanyak RM48.54 bilion, iaitu meningkat RM17.6 bilion atau 57 peratus lebih tinggi berbanding RM30.92 bilion pada tahun 2019. Menyedari kepentingannya kepada ekonomi negara, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah merancang pelbagai program serta inisiatif bagi meneruskan agenda pemerkasaan industri getah negara melalui pelbagai platform.

2. Terkini, KPPK melalui LGM menganjurkan Rubber Forum 2021 pada 9 Mac lalu. Lebih 200 peserta dalam kalangan wakil industri, persatuan getah dan agensi berkaitan telah menyertai program tersebut secara maya. Program ini dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan turut disertai oleh Pengerusi LGM YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris.

3. Rubber Forum merupakan platform bagi perkongsian maklumat dan sesi interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Isu-isu dan masalah terkini dibincangkan untuk mengukuhkan industri getah negara di sektor huluan dan hiliran. Antara perancangan Kerajaan yang telah dikongsikan dengan peserta adalah berkaitan Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) membabitkan pengeluaran getah krip berbanding getah sekerap yang akan memberikan nilai tambah pendapatan kepada pekebun kecil.
Pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini boleh menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal bagi menyertainya. Bagi menjayakan pelaksanaan projek, sejumlah RM6 juta telah diperuntukkan.

4. Di samping itu, turut dimaklumkan kepada peserta ialah pembangunan Koridor Lateks Pantai Timur yang akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM16 juta pada tahun ini. Melalui pelaksanaan projek ini, KPPK mensasarkan peningkatan 5,000 hingga 10,000 tan lateks setahun dengan sumbangan kepada pendapatan bulanan pekebun kecil sehingga 30 peratus.

5. Selain itu, beberapa topik perbincangan telah diwacanakan merangkumi pencapaian industri getah, prospek bagi tahun 2021, perakuan klon benih getah bagi tahun 2021 dan lain-lain. Dialog dan sesi bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa sektor getah merupakan proses penting dalam membantu KPPK dan LGM menambahbaik perancangan bagi membangunkan industri getah negara.

6. Antara pencapaian terbaik tahun 2020 bagi LGM seperti yang dimaklumkan semasa forum berkenaan adalah kejayaan memenangi 10 anugerah peringkat nasional dan antarabangsa. Ini termasuk anugerah berprestij di International, Invention, Innovation & Technology Award (ITEX) 2020, Lawrence D'Eicher Award (LDE Award) 2020, Anugerah Keseluruhan Bersempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2020 dan kedudukan ditangga ke-13 oleh LGM bagi pemohon paten tertinggi di Malaysia pada tahun 2020.

7. Adalah diharapkan Rubber Forum 2021 dapat memberi manfaat dengan sebaiknya kepada semua pihak dan menjadikannya antara forum yang dinanti-nantikan setiap tahun.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
13 Mac 2021