Jata

KENYATAAN MEDIA

KUTIPAN KADAR SES BAHARU SAWIT BERKUATKUASA
1 MAC 2021 TINGKATKAN KECEKAPAN PENGELUARAN SAWIT

 

1. Sejak penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2000, kadar kutipan ses adalah sebanyak RM15 bagi setiap tan minyak sawit mentah (MSM) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO). Bagaimanapun, kadar ses tersebut telah diturunkan kepada RM13 mulai 1 Mac 2009. Menyedari keperluan semasa bagi menjaga kepentingan dan mendepani cabaran industri sawit negara, Kementerian dan MPOB telah meneliti semula kadar ses yang dikenakan pada tahun 2019.

2. Dalam hal ini, Kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar kutipan ses oleh MPOB sebanyak RM3 iaitu daripada RM13 kepada RM16 pada tahun 2019 demi kepentingan industri tersebut walaupun harga MSM adalah rendah ketika itu. Namun, pelaksanaannya dilakukan secara berfasa dengan kenaikan RM1 mulai 1 Januari 2020 yang disalurkan kepada Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation – MPOGCF) bagi aktiviti konservasi sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.

3. Berikutan kenaikan harga MSM yang semakin tinggi ketika ini, pelaksanaan kadar baru yang telah dipersetujui terdahulu dilihat sesuai dilaksanakan. Kenaikan ini berkuatkuasa 1 Mac 2021 dan dikenakan kepada pengeluar CPO dan CPKO iaitu pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit dan Kilang Pelumat Isirung Sawit. Ia adalah selari dengan prestasi harga minyak sawit yang meningkat melepasi paras RM3,000 setiap tan dan diunjurkan terus mengukuh di pasaran.

4. Peningkatan ses sebanyak RM2 setiap tan pada 1 Mac ini akan disalurkan bagi menyokong penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit atau Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP). Sebanyak RM30 juta daripada kutipan ini akan digunakan sebagai pelengkap oleh industri kepada peruntukan RM30 juta yang disediakan oleh Kerajaan melalui geran padanan seperti diumumkan semasa Belanjawan 2021. Mekanisasi dan automasi di sektor perladangan akan diberi tumpuan khusus yang turut selari dengan cadangan pihak industri.

5. Penubuhan MARCOP melibatkan kerjasama MPOB dan pihak industri bertujuan meningkatkan teknologi dan penggunaan kejenteraan ladang bagi mengoptimumkan kecekapan operasi serta penuaian buah sawit di samping mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan adalah prihatin akan isu berkaitan kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini.

6. Hasil kutipan ses juga disalurkan bagi pembiayaan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang diwujudkan bagi mengatasi cabaran secara bersama isu-isu minyak sawit di peringkat antarabangsa seperti kempen antiminyak sawit serta diskriminasi oleh Kesatuan Eropah ke atas biobahan api berasaskan sawit.

7. Selain itu, tambahan ses ini akan digunakan bagi pembiayaan penghasilan teknologi baru melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, aktiviti galakan pasaran oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) termasuk aktiviti yang memberi tumpuan dan sokongan kepada pekebun kecil bagi peningkatan daya saing global serta kelestarian industri sawit negara.

8. KPPK berharap dengan keputusan terkini oleh Kerajaan mampu meningkatkan kecekapan bagi menambah hasil pengeluaran sawit negara dan kesinambungan industri berkenaan.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
3 Mac 2021