Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI AGRIKOMODITI DI PERINGKAT HULUAN
DAN HILIRAN SEKTOR LADA TERUS DIPERKASA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melakukan lawatan kerja ke Johor bagi meninjau kemajuan industri lada peringkat huluan serta hiliran di FELDA Inas Utara, Kulai dan di Taman Universiti Skudai, Johor Darul Takzim.

2. Di FELDA Inas Utara, beliau menyampaikan bantuan Skim Tanaman Baharu Lada (STBL) kepada 23 penerima yang merupakan pekebun Komuniti Lada FELDA Inas. Terdahulu YB Menteri menyerahkan dua mesin pemprosesan lada di bawah Skim Pembiayaan Pembangunaan Pemasaran Lembaga Lada Malaysia (MPB) kepada syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn Bhd dan Herba Bagus Sdn Bhd yang merupakan usahawan hiliran bimbingan MPB.

3. Beliau turut melancarkan produk terbaharu keluaran syarikat NIS Spice Manufacturing Sdn. Bhd iaitu Black Pepper Seasoning Mix di kilang milik syarikat berkenaan di Taman Universiti Skudai, Johor Program Lawatan ke Kebun Lada dan Usahawan Hiliran Lada di Johor itu.

4. Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40.7 juta bagi pemberian bantuan STBL di seluruh negara. Daripada jumlah berkenaan, seramai 270 penerima dari Semenanjung telah memperoleh manfaat daripada skim bantuan tersebut dengan jumlah keluasan tanaman 42.5 hektar.

5. MPB juga telah mengagihkan sejumlah 34 unit mesin kepada 15 usahawan di seluruh negara bernilai RM275,100 sepanjang tempoh RMK-11. Selain itu, seramai 160 usahawan telah menyertai dan mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Usahawan yang dilaksanakan oleh MPB selari dengan usaha Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan lada pada masa hadapan.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan MPB berperanan merencana program-program pembangunan industri huluan serta hiliran lada. Ia dilaksanakan melalui penyaluran insentif-insentif bukan sahaja bertujuan membantu para pekebun kecil lada, tetapi juga untuk memperkasakan industri komoditi itu secara keseluruhannya agar setiap golongan sasaran akan menikmati manfaat daripada program tersebut.

7. Justeru, dalam usaha memperkasakan industri lada, semua pekebun kecil lada di seluruh Malaysia diseru untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan melalui MPB. Potensi industri agrikomoditi lada perlu diteroka dengan menceburi sektor hiliran lada sebagai aktiviti perniagaan baru.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kulai, Johor
7 Februari 2021