Jata

KENYATAAN MEDIA


PENGAWALAN INTENSIF PENYAKIT LURUHAN DAUN
PESTALOTIOPSIS PADA POKOK GETAH


1. Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengesan penyakit luruhan daun pestalotiopsis pada pokok getah Malaysia pada tahun 2017. Pokok getah yang diserang penyakit ini akan mengalami luruhan daun yang ketara dan tidak mengikut musim selain tompok-tompok berwarna cokelat pada daun. Kesan penyakit juga menyebabkan pengeluaran lateks berkurangan.

2. Sehingga akhir Disember 2020, seluas 18,812.98 hektar telah diserang dengan penyakit ini, meliputi hampir semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Sabah. Penyakit ini turut menyerang pokok getah di negara-negara pengeluar getah lain seperti Indonesia (387,000 hektar), Thailand (122,530 hektar), Sri Lanka (20,000 hektar) dan India (300 hektar).

3. Sebuah Jawatankuasa Pestalotiopsis peringkat kebangsaan telah ditubuhkan tahun lepas untuk menyelaras tindakan secara menyeluruh bagi kawalan penyakit serta membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan penyakit tersebut. Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPPK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Pertanian, LGM, RISDA, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian Sarawak, MARDI, Jabatan Kimia Malaysia, Persatuan Kebangsaan  Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), FELDA, FELCRA, Sime Darby Plantation dan Applied Agricultural Resources (AAR) Sdn Bhd.

4. LGM telah mengambil langkah proaktif untuk memulakan usahausaha bagi mengawal penyakit ini daripada merebak. Antaranya, seperti membuat rawatan semburan racun kulat kepada daun pokok getah yang dijangkiti dan memberikan khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi mengawal dan menghapuskan jangkitan ini.

5. Racun kulat dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati berkemampuan untuk merencatkan pertumbuhan kulat Pestalotiopsis. Bahan aktif propiconazole (racun sistemik) yang berada di pasaran boleh merencatkan pertumbuhan kulat dengan ketara.

6. Kementerian melalui LGM dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus berusaha bagi mengawal penularan penyakit ini. Para pekebun boleh menghubungi pejabat LGM terdekat atau mengajukan sebarang pertanyaan kepada general [AT] lgm [DOT] gov [DOT] my.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
19 Januari 2021