Jata

KENYATAAN MEDIA

INDUSTRI SAWIT LABUH TIRAI 2020 DENGAN CEMERLANG, UNJURAN LEBIH BAIK PADA 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook (R&O) Virtual Conference 2021. Persidangan anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ini memberi tumpuan kepada kemajuan industri minyak sawit sepanjang tahun 2020 dan sasaran pencapaian tahun 2021 serta perkembangan perdagangan di peringkat global.

2. Pencapaian industri sawit pada tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 khususnya prestasi eksport dan harga minyak sawit. Harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) bagi tahun 2020 meningkat dengan ketara kepada RM2,685.50 per tan berbanding RM2,079 per tan pada tahun 2019. Harga MSM berada di paras tertinggi, RM3,835.50 per tan pada 24 Disember 2020 berbanding paras terendah RM2,021.50 per tan pada 12 Mei 2020, iaitu peningkatan sebanyak 89.7 peratus. Bagi tahun 2021, harga MSM dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik berdasarkan kepada perkembangan terkini.

3. Pengeluaran MSM pada tahun 2021 diunjurkan sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.

4. Pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) secara mandatori sejak 1 Januari 2020 meliputi sektor ladang, pekebun kecil dan kilang kelapa sawit bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan dan penjenamaan minyak sawit Malaysia yang menyumbang peningkatan daya saing industri itu di peringkat global. Pematuhan Pensijilan MSPO membuktikan pengeluaran minyak sawit Malaysia memenuhi pelbagai keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk amalan perburuhan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

5. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO. Sejumlah 434 kilang atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.

6. Bagi pekebun kecil, seluas 311,739.51 hektar (31.61 peratus) kawasan tanaman sawit persendirian telah dipersijilkan MSPO, manakala pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi kerajaan negeri telah mencapai 98.54 peratus atau seluas 671,583.90 hektar disijilkan.

7. Kesemua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah memperoleh sijil MSPO yang melibatkan penyertaan 94,328 orang pekebun kecil persendirian (37.74 peratus) dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 369,369 hektar (38.87 peratus).

8. Kementerian melalui Agensi dan Majlis di bawahnya akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan penglibatan pemain industri dan pekebun kecil dalam pelaksanaan pensijilan MSPO. MPOB telah menyediakan kemudahan pendaftaran MSPO secara dalam talian di mspo.mpob.gov.my dan di 53 pejabat cawangan MPOB di seluruh negara. MPOB juga memperkenalkan kaunter bergerak MSPO yang akan berada di kawasan-kawasan strategik untuk pekebun kecil mendaftar.

9. Pada tahun 2021, KPPK optimis prestasi perdagangan minyak sawit akan lebih baik berikutan ramalan positif ekonomi negara selain produktiviti yang dijangka meningkat berikutan amalan pertanian baik yang menjadi asas kepada Pensijilan MSPO.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kajang
11 Januari 2021