
KENYATAAN MEDIA
KPPK CADANG TIGA PROJEK UTAMA SEKTOR AGRIKOMODITI DI KEDAH SEMPENA LAWATAN KERJA DAN PERTEMUAN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA MENTERI BESAR KEDAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan delegasi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman dalam lawatan kerja dua hari ke negeri ini mulai 15 Jun 2020.
2. Pertemuan antara pemimpin serta pegawai Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ini adalah bagi membincangkan isu dan cabaran industri komoditi negara dan peranan masing-masing bagi menjayakan agenda pembangunan industri tersebut. Perbincangan juga memberi tumpuan kepada hasrat KPPK untuk membangunkan industri komoditi di negeri ini melalui cadangan tiga projek utama iaitu pembangunan ladang komuniti getah, pembangunan ladang buluh di kawasan terosot dan peluasan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf.
3. Projek pembangunan ladang komuniti getah berintegrasi bertujuan untuk menstrukturkan semula dan memusatkan kawasan pengeluaran getah negara. Konsep projek ini adalah melalui pembangunan tanah milik Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh institusi atau entiti Kerajaan Negeri dengan bantuan teknikal daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi berkaitan. Setiap peserta projek dijangka mampu memperoleh pendapatan sehingga hampir RM2,000 sebulan melalui program tersebut.
4. Pada hari ini juga YB Dato' Dr Mohd Khairuddin berbesar hati meluluskan pemajakan dan pengurusan ladang LGM di Estet Sg. Sari, Kuala Nerang, Kedah seluas 204 hektar yang diusahakan oleh Kedah Agro Holdings Berhad.
5. Bagi pembangunan ladang buluh, ia melibatkan kawasan seluas 500 hingga 1,000 hektar yang ditawarkan untuk dilaksanakan oleh Syarikat Kerajaan Negeri melalui Program Pembangunan Ladang Hutan di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Ia mampu menghasilkan pendapatan bersih sebanyak RM36,000 setiap hektar setahun selepas buluh matang, sekiranya dilaksanakan dengan baik dan tersusun mengikut perancangan yang disyorkan.
6. Pembangunan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf yang sedang dilaksanakan di negeri ini dicadangkan untuk diperluaskan dengan tambahan sehingga 300 hektar. Pelaksanaan projek melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini dianggarkan dapat menghasilkan sebanyak 90,000 kilogram biji benih tambahan kepada keperluan biji benih kenaf negara. Peluasan kawasan ini dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan penjanaan pendapatan kepada 470 rakyat tempatan.
7. Menambah nilai satu lagi produk pelancongan di Kedah, dilaksanakan Pembangunan Hub Usahawan Coklat Langkawi di Langkawi dengan sasaran seramai 20 orang Usahawan baru dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia menerusi geran berkaitan. Adalah diharapkan dengan perbincangan dan pertemuan antara kedua-dua
1. Adalah diharapkan dengan perbincangan dan pertemuan antara kedua-dua pemimpin utama dari Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, ia dapat membuka satu lembaran baru untuk industri komoditi di negeri Kedah yang akan menjadi pemangkin kepada sektor agrikomoditi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
16 Jun 2020
