
KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
BANTUAN KEPADA PENANAM KENAF DAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) UNTUK PEKEBUN KECIL NEGERI KEDAH
SEMPENA LAWATAN KERJA MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KEDAH
1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyampaikan Bantuan Prihatin Kenaf 2020 berjumlah RM47,950 kepada 54 penanam kenaf yang mengusahakan seluas 95.5 hektar tanaman di negeri ini.
2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperuntukkan sebanyak RM968,680 bantuan prihatin khusus kepada penanam-penanam kenaf di seluruh negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Jumlah ini melibatkan 1,357 penanam dengan keluasan tanaman 1,937.36 hektar.
3. Peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 bagi setiap hektar tanaman.
4. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin turut melawat pejabat LKTN Kedah dan telah diberi taklimat mengenai operasi Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf serta demonstrasi pemprosesan biji benih kenaf.
5. Pada majlis berasingan pagi tadi, seramai 20 pekebun kecil menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berjumlah hampir RM6,000. Ia adalah insentif yang disediakan oleh kerajaan bertujuan untuk menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil.
6. IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang berada pada paras RM2.50 sekilogram ke bawah. Tuntutan IPG di negeri Kedah sehingga 30 April 2020 adalah sebanyak 35,284 pekebun kecil membabitkan sejumlah RM6.5 juta.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 JUN 2020
