
KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
BERHUBUNG PELAKSANAAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) KEPADA PEKEBUN KECIL GETAH SEHINGGA MAC 2020
1. Pada hari ini, 20 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil getah sehingga Mac 2020.
2. IPG merupakan salah satu bentuk bantuan khas yang diberikan oleh Kerajaan bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil getah supaya mereka terus menjalankan aktiviti penorehan bagi menyokong industri getah negara.
3. IPG mula dilaksana sejak September 2015 dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG terkini pada harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 sebanyak RM6.10 sekilogram atau harga getah sekerap (cuplump) sebanyak RM2.50 sekilogram. IPG akan teraktif apabila harga purata bulanan SMR20 atau cuplump di bawah PHP tersebut. Pekebun kecil akan dibayar IPG berdasarkan perbezaan harga PHP dan harga semasa cuplump.
4. Bagi tempoh September 2015 sehingga Mac 2020, Kerajaan telah membuat pembayaran IPG sebanyak RM282.3 juta bagi 462.7 juta kilogram getah merangkumi 2.0 juta tuntutan di seluruh Malaysia. Pekebun kecil yang layak menuntut IPG perlu memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang mana sehingga bulan Mac 2020, sebanyak 456,421 kad PAT-G telah didaftarkan di seluruh Malaysia.
5. Walau bagaimanapun, Kementerian mendapati bahawa pekebun kecil yang menuntut IPG adalah rendah dan dianggarkan secara purata hanya 12.4% sahaja. Sehubungan itu, Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperkasa dan menambahbaik mekanisme IPG agar hasrat Kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil lebih terbela di bawah Kerajaan yang prihatin.
6. Dalam hal ini, LGM sedang giat mempromosikan penggunaan RRIMNIAGA di kalangan pembeli getah berlesen bagi memudahkan pekebun kecil. Mereka tidak perlu lagi menuntut IPG kerana semua transaksi penjualan dan pembelian getah akan direkodkan di dalam pangkalan data LGM. Rekod tersebut akan disemak oleh LGM dan sekiranya layak, IPG akan terus disalurkan ke dalam akaun pekebun kecil.
7. Dengan adanya penggunaan teknologi seperti ini secara meluas, adalah dijangkakan pekebun kecil akan banyak menerima manfaat sejajar dengan hasrat Kementerian untuk memperkasa pekebun kecil dan membangunkan industri getah negara ke tahap yang lebih tinggi.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MEI 2020
PUTRAJAYA
