KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE NEGERI JOHOR BAGI MENINJAU INDUSTRI KOKO

1. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan lawatan kerja ke Johor pada 11 Mei 2020 bagi memantau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lawatan kerja ini juga bagi meninjau isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri koko dengan lebih dekat terutama semasa tempoh PKPB.

2. Terkini Malaysia adalah merupakan negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.14 bilion pada tahun tersebut berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus.

3. Walau bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport daripada koko dan produk-produk berasaskan koko akan menurun sebanyak 18 peratus berikutan pelaksanaan PKP.

4. Antara syarikat yang dikunjungi adalah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia. Syarikat ini merupakan pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun dan merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

5. Selain itu, lawatan turut diadakan ke syarikat HSRICH Chocolate yang merupakan usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia. Pada tahun ini, seramai 224 usahawan coklat termasuk 22 usahawan di Johor dibimbing melalui program ini.

6. Lawatan kerja sehari ini telah memberi peluang kepada YB Menteri mendengar secara terus dari pemain industri tentang permasalahan dan potensi industri koko dan coklat negara. Lawatan tersebut turut berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap yang lebih baik terutama antara Kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di negeri Johor.

7. Kementerian juga komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baru RMK12.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
11 Mei 2020