SIARAN MEDIA

SEKTOR AGRIKOMODITI BEROPERASI PENUH DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT




Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi termasuk agrikomoditi beroperasi mulai 4 Mei 2020 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sektor agrikomoditi yang dibenarkan beroperasi merangkumi aktiviti perladangan dan perkilangan sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf dan biodiesel. Selain daripada aktiviti huluan yang dibenarkan beroperasi, aktiviti hiliran juga turut mendapat kelulusan yang merangkumi dagangan agrikomoditi termasuk jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian melibatkan anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin.

Sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah ini, sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil sektor agrikomoditi akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan individu juga akan terjejas. Malahan, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup.

Keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi yang merangkumi agrikomoditi adalah diharapkan akan berupaya untuk memberi impak positif kepada ekonomi negara tanpa mengenepikan kesejahteraan rakyat khususnya hampir 1 juta orang pekebun kecil agrikomoditi. Sektor agrikomoditi telah menyumbang sebanyak RM125.6 bilion dari segi pendapatan eksport negara pada tahun 2019. Demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin, semua sektor agrikomoditi yang telah diluluskan untuk pengoperasian penuh wajib memenuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan. Soalan lazim (FAQ) berkenaan PKPB sektor agrikomoditi telah disediakan dan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MPIC. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut juga boleh dikemukakan kepada MPIC melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel hotlinempic [AT] mpic [DOT] gov [DOT] my.

Sehubungan itu, sektor-sektor agrikomoditi yang beroperasi mulai 4 Mei 2020 WAJIB mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak ladang dan kilang berkenaan. Perlu ditegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti dibenarkan bagi kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta kemampanan ekonomi, Kementerian berharap semua pihak termasuk pengusaha dan majikan yang dibenarkan untuk beroperasi dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Selasa, 5 Mei 2020