KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN NEGERI SARAWAK DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSAMA MEMBANTU RINTIHAN PARA PEKEBUN KECIL GETAH


1.Bagi pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), saya mengalu-alukan langkah proaftif Kerajaan Negeri Sarawak yang telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg terhadap harga getah, menjadikan jumlah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat kepada RM1.90/kg. Inisiatif ini sudah tentu akan membantu meringankan bebanan dan meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di Sarawak. Ini juga membuktikan gandingan kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan benar serius membela nasib rakyat.

2.Untuk makluman masyarakat, RM2.50/kg Cuplump adalah harga pengaktifan IPG oleh Kerajaan Persekutuan. Pada bulan Mac 2020, IPG telah diaktifkan kerana di Sarawak purata harga ladang bulanan Cuplump ialah RM1.80/kg, bermakna pekebun kecil akan dibayar IPG sebanyak RM0.70/kg cuplump (RM2.50-RM1.80 = RM0.70/kg). Oleh kerana cuplump cuma mengandungi 50% kandungan getah kering (KGK), nilai IPG ialah RM1.40/kg cuplump untuk 100% KGK.

3.Kerajaan Sarawak telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg, menjadikan jumlah IPG meningkat kepada RM1.90/kg (100% KGK). Sebagai contoh, jika pekebun kecil menghasilkan 400 kg cuplump (50% KGK) pada bulan Mac, jumlah insentif yang dibayar ialah RM380 berbanding RM280 pada kadar IPG biasa tanpa insentif tambahan dari Kerajaan Sarawak. Tanpa IPG, pendapatan pekebun kecil dari jualan cuplump hanya RM720. Dengan insentif IPG tambahan di Sarawak, pendapatan pekebun kecil ialah RM1,100 (RM720+RM380).

4. Oleh kerana yang sedemikian, saya juga mengesa para pekebun kecil getah yang belum mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi – Getah
(PAT-G) untuk mendaftar di seluruh Pejabat Pertanian di Negeri Sarawak dan juga mana – mana pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) supaya mereka boleh mendapat manfaat IPG dan supaya mereka tidak tercicir. Sebarang pertanyaan mereka juga boleh hubungi Talian Hotline LGM di 1-800-888-474 (Isnin-Jumaat) 9.00 pagi-5.00 petang atau 019-602 6001, 019-625 7800 selepas jam 5.00 petang.

 

YB TUAN WILLIE MONGIN
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
15 April 2020