
KENYATAAN MEDIA
UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI SABAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan keputusan pihak Kerajaan Negeri Sabah dalam memberikan kelonggaran untuk beroperasi secara bersyarat kepada ladang sawit dan kilang sawit di enam (6) daerah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Keputusan yang dinanti-nantikan ini sudah semestinya akan disambut baik oleh syarikat perladangan dan kilang sawit di enam daerah tersebut khususnya yang tidak dijangkiti virus COVID-19.
2. Kementerian ini sentiasa bersedia membantu dari segi pemantauan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta komitmen daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) dalam memastikan ladang dan kilang sawit di seluruh negeri Sabah mematuhi Panduan Pengoperasian Ladang Semasa Wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
3. Kebenaran bersyarat dan panduan pengoperasian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hendaklah diberi perhatian serius supaya syarikat perladangan dan kilang sawit dapat terus beroperasi. Kementerian ini juga tidak akan berkompromi ke atas syarikat perladangan, kilang sawit dan kilang penapis minyak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang di dapati melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sejajar dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara.
YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
11 April 2020
