
KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
LAWATAN KERJA KE MPOB
12 MAC 2020
1. Saya melafazkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan lawatan pertama ke agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
2. Pada hari ini, saya telah diberi taklimat mengenai MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan menyediakan perkhidmatan kepada pihak terlibat dalam industri sawit negara.
3. Pencapaian bidang penyelidikan dalam industri sawit yang diterajui oleh MPOB turut menyumbang kemajuan pesat industri sawit negara yang merupakan tunggak komoditi pertanian negara. Sehingga 2019, keluasan tanaman sawit sebanyak 5.9 juta hektar menghasilkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 19.86 juta tan dan menjana pendapatan eksport berjumlah RM64.45 billion. Kemajuan industri sawit di sepanjang rantaian pengeluaran menyedia peluang ekonomi dan pekerjaan kepada lebih 4 juta penduduk termasuk 500,000 pekebun kecil sawit.
4. Penyelidikan MPOB telah menghasilkan 672 teknologi dan inovasi dalam semua aspek sawit yang ditawarkan untuk pengkomersialan dan digunapakai oleh pihak industri. Penggunaan teknologi baharu penting bagi peningkatan daya saing industri di peringkat global dan menyumbang dari segi peningkatan produktiviti pengeluaran dan kualiti produk sawit, kegunaan minyak sawit dalam makanan dan bukan makanan.
5. Sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan industri sawit mampan, MPOB memberi tumpuan penting kepada pembangunan pekebun kecil persendirian termasuk pelaksanaan pensijilan MSPO melibatkan keluasan kawasan tanaman sawit berjumlah 986,331 hektar. Usaha ini dilaksanakan melalui penubuhan 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara. Sehingga kini, sebanyak 107,966.47 hektar atau 11% telah berjaya dipersijilkan. Usaha giat dilaksanakan untuk mencapai matlamat pensijilan pekebun kecil sepenuhnya menjelang tahun 2023.
6. Aspek kemampanan dan jaminan keselamatan produk sawit diberi tumpuan penting bagi bekalan minyak sawit ke luar negara. Maklumat saintifik yang dihasilkan melalui penyelidikan MPOB dan pihak industri dapat menangkis tohmahan negatif dan usaha memburukkan industri sawit yang dikaitkan dengan alam sekitar, biodiversiti dan perlindungan hidupan liar, jaminan keselamatan dan khasiat pemakanan minyak sawit.
7. Penyelidikan MPOB dan institusi penyelidikan luar negara membuktikan minyak sawit mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi (vitamin A dan E) yang baik untuk kesihatan manusia, kegunaan yang pelbagai ‘versatile’ bagi sektor makanan dan bukan makanan.
8. Hasil penyelidikan MPOB menghasilkan teknologi dan formulasi bagi pengeluaran produk oleokimia sawit sebagai pengganti sumber petroleum untuk penghasilan produk pencuci, produk kosmetik dan penjagaan diri serta produk industri. Penyelidikan MPOB juga menghasilkan teknologi penggunaan produk biojisim sawit bagi penghasilan papan lapis, produk ketumpatan sederhana (MDF) bagi penghasilan perabot dan komponen kenderaan dan biodiesel sawit yang diadun sebanyak 20 peratus bersama diesel petroleum.
9. Seperti saya maklumkan dalam sidang akhbar pertama, kementerian dan agensi melalui pemuafakatan bersama pihak industri akan mengembleng tenaga dan kepakaran bagi memaju sektor komoditi termasuk industri sawit dan menangani cabaran bagi kesejahteraan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
10. Saya akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran sama ada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti ataupun pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.
11. Kementerian akan terus meneroka pasaran-pasaran baharu yang masih belum kita kuasai sepenuhnya disamping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.
12. Saya akan memastikan matlamat yang dicapai oleh Kementerian adalah menerusi amalan tadbir yang baik, berintegriti dan kualiti yang tinggi.
