KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
SESI DIALOG YB MENTERI INDUSTRI UTAMA BERSAMA THE EAST MALAYSIA PLANTERS’ ASSOCIATION (EMPA)
1. Industri perladangan sawit merupakan sub sektor yang banyak bergantung kepada guna tenaga termasuklah pekerja asing. Dalam memastikan pekerja asing dapat bekerja dalam persekitaran yang selesa dan terjamin kebajikan mereka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan dalam menguatkuasakan Akta Kerja 1955 dan bagi mengelakkan berlakunya amalan perburuhan yang tidak sihat. Di samping itu, kebajikan pekerja merupakan salah satu kriteria bagi persijilan minyak sawit mampan melalui Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang telah diwajibkan pada akhir tahun 2019.
2. Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) telah mengeluarkan Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2019 di Washington, Amerika Syarikat (U.S.) pada 20 Jun 2019. Penilaian oleh JNAS ini dibuat terhadap 187 buah Negara termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan. Laporan tersebut telah mengekalkan tahap Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) bagi tahun 2019.
3. Diharapkan usaha berterusan yang telah dilakukan oleh Kerajaan bagi sepanjang waktu penilaian daripada April 2019 sehingga Mac 2020 akan dapat menaikkan Malaysia ke satu tahap yang lebih baik dan memberikan impak positif terhadap perkembangan industri perladangan sawit Malaysia.
4. Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian dalam usaha untuk mengeluarkan sektor sawit Malaysia daripada dianggap mengamalkan buruh paksa dan buruh kanak-kanak di bawah Trafficking Victim Protection Reauthorization Act (TVRPA) list yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat. Antaranya ialah melalui kajian situasi buruh di sektor perladangan sawit di Malaysia.
5. Amerika Syarikat adalah merupakan antara pengimport terbesar produk-produk sawit Malaysia. Pada tahun 2019, eksport produk-produk sawit Malaysia ke AS bernilai RM3.1 billion (1.1 juta tan). Industri sawit (sektor huluan dan hiliran) menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih dua juta rakyat. Justeru, hasil kajian ini dapat membantu Malaysia dalam menangani keraguan pihak AS mengenai industri sawit Malaysia secara keseluruhannya.
6. Sebagai way forward, Kementerian turut menyeru pihak persatuan dan industri untuk menggiatkan usaha dalam mengamalkan good labour practice dan melaksanakan program-program kesedaran mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak di semua peringkat. Selain itu, pihak industri juga digalakkan untuk meningkatkan daya tarikan terhadap prospek kerjaya di sektor perladangan bagi menarik minat generasi muda negara untuk bekerja di sektor ini sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain beralih kepada mekanisasi.
Kementerian Industri Utama
Malaysia
23 Februari 2020
