KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA

DI

MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM BIODIESEL B20 DI SEKTOR PENGANGKUTAN

20 FEBRUARI 2020
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

1. Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula di Langkawi serta Labuan dan akan diperluaskan ke Sarawak (April 2020), Sabah (Ogos 2020) dan seterusnya seluruh Semenanjung Malaysia pada Jun 2021.

2. Sebelum ini, Kerajaan telah melaksanakan secara mandatori Program Biodiesel B10 (adunan 10% PME dan 90% diesel petroleum) di sektor pengangkutan pada 1 Februari 2019 dan Program Biodiesel B7 (adunan 7% PME dan 93% diesel petroleum) di sektor industri pada 1 Julai 2019.

3. Dengan usahasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh Malaysia mengikut pelan pelaksanaan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program B20 dijangkakan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021.

4. Sebagai pilihan kepada pengguna, Euro5 B7 masih dijual di stesen-stesen minyak tertentu manakala stesen-stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, dan Kundasang di Sabah akan terus membekalkan B7.

5. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun. Menerusi pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan and pengekalan Program Biodiesel B7 di sektor industri pada masa ini, kira-kira 1,300,000 tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun.

6. Pelaksanaan program biodiesel menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan kebergantungan tenaga bahan api fosil serta menggerakkan Malaysia ke arah pembangunan tenaga mapan untuk generasi akan datang.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
20 FEBRUARI 2020