
HEBAHAN MEDIA
INDUSTRI HARGAI INISIATIF KERAJAAN UNTUK PERTIMBANG
PEMBERIAN PERMIT SEMENTARA KEPADA PENDATANG
ASING TANPA DOKUMEN SAH BAGI MEMENUHI KEPERLUAN
TENAGA KERJA DI SEKTOR PERLADANGAN.
Pihak Industri amat berterima kasih dan menghargai inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk mempertimbangkan pemberian permit sementara kepada pendatang asing yang berada di dalam negara dan tiada memiliki dokumen sah untuk bekerja di sektor perladangan kelapa sawit dan getah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
Keputusan ini amat dialu-alukan dan sewajarnya akan dapat membantu pemain industri dan pekebun-pekebun kecil bagi mengurangkan tekanan ke atas isu yang membelungi sektor ini yang telah meyebabkan kehilangan potensi pengeluaran sebanyak 20% ke 30% pada masa ini. Penyelesaian isu ini akan membolehkan industri meraih pengeluaran seoptima mungkin mengambil kira keadaan harga pasaran semasa yang baik yang seterusnya akan memberikan peningkatan hasil pulangan cukai kepada kerajaan.
Pihak industri telah melaksana langkah-langkah perlu dan komprehensif dalam usaha menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di sektor perladangan tetapi maklum balas yang diterima sehingga kini adalah amat minima. Pemain industri juga secara serius melihat ke arah mengadaptasi penggunaan automasi dan mekanisasi penjenteraan operasi perladangan dalam tempoh masa sederhana bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Kami berasa lega dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang berusaha untuk menyelesaikan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri dan pekebun-pekebun kecil serta mengambil kira kepentingan dan sumbangan industri minyak sawit terhadap ekonomi negara. Kami berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pihak industri juga berharap agar pekerja asing yang telah pulang bercuti ke negara asal diberikan kebenaran untuk pulang semula bekerja di Malaysia dan membatalkan pembekuan pekerja asing di sektor perladangan dengan kadar segera.
Pihak industri telah melaksana dan akan terus mengamalkan pematuhan prosidur operasi yang ketat dan bersiap siaga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta akan sentiasa menyokong usaha Kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Terima kasih.
Datuk Mohamad Nageeb Wahab
Ketua Eksekutif
02 November 2020
