Jata

KENYATAAN MEDIA


PROGRAM BIODIESEL NEGARA PEROLEH SOKONGAN
SYARIKAT SWASTA DI WILAYAH SELATAN


 


1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini mengadakan lawatan kerja ke terminal simpanan dan pengagihan bahan api milik ATT Tanjung Bin Sdn. Bhd. (ATB) yang bertempat di Tanjung Bin, Pontian, Johor. Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau persiapan adunan biodiesel milik ATB dalam menyokong pelaksanaan Program Biodiesel Negara terutamanya bagi kawasan liputan di Wilayah Selatan, Semenanjung. Lawatan kerja ini turut disertai Setiausaha Bahagian BioBahan Api KPPK, Dr Sang Yew Ngin dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.


2. Pelaksanaan Program Biodiesel Negara iaitu Program Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri dijangka menggunakan sebanyak 1.3 juta tan minyak sawit tempatan dan seterusnya menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.9 juta tan CO2 setara setahun, apabila program berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.


3. ATB merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan pengagihan bahan api petroleum yang terletak di Pusat Petroleum Tanjung Bin, Pontian, Johor. ATB telah memulakan operasinya sejak tahun 2012 dengan  jumlah pelaburan terkini melebihi RM2 bilion. Jumlah kakitangan di terminal ATB ini adalah seramai 100 orang, dengan 94 peratus terdiri daripada warga tempatan yang berpengalaman luas dalam bidang minyak dan gas.


4. ATB mempunyai keupayaan kapasiti penyimpanan melebihi 1.3 juta meter padu atau bersamaan 1.3 bilion liter bahan petroleum dari pelbagai jenis dan gred. Secara purata, ATB mengendalikan lebih kurang 700 hingga 900 buah lori tangki petrol dan diesel sebulan atau lebih daripada 400 juta liter/tahun untuk syarikat BHP dan Petron khususnya bagi pasaran di Wilayah Selatan, Semenanjung. Terminal ini juga mengendalikan adunan biodiesel dengan jumlah pengendalian biodiesel sawit (Palm Methyl Ester – PME) terkini kira-kira sebanyak 13 juta liter yang melebihi nilai RM36 juta sepanjang tahun 2019.


5. Sehubungan itu, KPPK berharap semua pihak berkepentingan akan memberikan sokongan penuh dalam menjayakan pelaksanaan Program Biodiesel Negara yang merangkumi Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 di sektor industri.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
16 Ogos 2020