Jata

KENYATAAN MEDIA


HAB COKLAT MALAYSIA PEMANGKIN PEMBANGUNAN INDUSTRI
KOKO DAN COKLAT TEMPATAN


 


1. Pulau Langkawi hari ini secara rasminya diisytiharkan sebagai Hab Coklat Malaysia. Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.


2. Cadangan mewujudkan hab coklat berkenaan sejajar dengan perkembangan Langkawi sebagai pusat peranginan tersohor negara dengan jumlah kemasukan pelancong melebihi 3.6 juta orang sejak tahun 2014 dan yang terkini hampir 4 juta orang sepanjang tahun 2019 seperti yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Cadangan ini juga adalah selari dengan hasrat kementerian menjadikan Malaysia sebagai King of Chocolate di rantau Asia.


3. Pewujudan hab ini akan merancakkan lagi pembangunan sektor hiliran koko di pulau ini. Di samping itu, ia juga akan menjadi pemangkin untuk mempromosikan produk coklat khususnya coklat buatan tempatan yang seterusnya akan
menyumbang kepada pembangunan aktiviti pengeluaran produk-produk coklat.


4. Sektor koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah RM1.6 bilion. Sektor pembuatan coklat dan produk koko mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3 peratus pada tahun yang sama dengan peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.


5. Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko bagi lima bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM2.6 bilion, meningkat sebanyak 0.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.


6. Bagi memperkasa industri pembuatan coklat, kementerian telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Coklat Bimbingan Lembaga Koko Malaysia pada tahun 2013. Sehingga 16 Ogos 2020, seramai 224 orang usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut dengan hasil jualan produk usahawan coklat bagi tempoh lima bulan pertama 2020 (Januari hingga April) adalah sebanyak RM2.06 juta.


7. YB Menteri turut merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan yang diadakan pada 14-16 Ogos 2020. Seramai 11 usahawan coklat berjaya dilahirkan di Kedah setakat ini, dua daripadanya mencapai tahap PKS. Program Pembangunan Usahawan Coklat akan terus dipergiatkan bagi menambah usahawan coklat di seluruh negeri ini dan dijadikan medium untuk meningkatkan pendapatan khususnya golongan B40. Seramai 25 bakal usahawan coklat buatan tangan telah mengikuti kursus kali ini.


8. Di samping itu, bantuan insentif input pertanian turut disampaikan kepada 46 pekebun kecil koko Zon Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM13,000. Bantuan tersebut bertujuan membantu golongan terbabit yang terkesan berikutan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


9. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 pekebun kecil koko di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak RM276,500 diperuntukkan kepada 768 pekebun kecil koko di Semenanjung.


10. KPPK akan meneruskan usaha mengembangkan industri hiliran koko menerusi program-program game changer seterusnya mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan usahawan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan seterusnya pembangunan akan terus diberi keutamaan.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
16 Ogos 2020