Jata

KENYATAAN MEDIA


KOPERASI KLUSTER KOKO TINGKATKAN PENDAPATAN
PEKEBUN KECIL DAN USAHAWAN


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada 21 - 22 Ogos 2020 di Hotel Perkasa Mount Kinabalu, Ranau, Sabah yang dihadiri 100 orang pekebun kecil koko dari seluruh negeri ini.


2. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko selaras dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai pengeluar biji koko kering hasil keluaran setempat (single origin) dan berperisa unik (fine flavour) yang menawarkan nilai pasaran sehingga dua kali ganda lebih tinggi daripada harga semasa. Penekanan ke atas kedua-dua jenis pengeluaran ini akan memastikan keunikan aroma biji koko kering mengikut kawasan terpelihara, di samping meningkatkan pendapatan pekebun kecil terbabit.


3. Sepanjang tahun ini, LKM memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keluasan tanaman koko, pengeluaran biji koko kering dan pendapatan pekebun kecil melalui Program Tanaman Baharu Koko Kluster, Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti, melibatkan kawasan tanaman koko di Sabah seluas 2,051 hektar.


4. Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko merupakan salah satu projek pembangunan LKM yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan peruntukan sebanyak RM52 juta. Program kluster koko ini berkonsepkan pembangunan rantaian nilai koko dari kebun ke hidangan (Farm to Table) iaitu coklat dengan penglibatan komuniti atau kluster terpilih secara terbimbing. Melalui usaha ini, LKM akan membangunkan rantaian nilai di sepanjang peringkat pengeluaran koko merangkumi huluan, pertengahan dan hiliran.


5. Kluster koko juga berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana ia mengeluarkan hasil keluaran setempat sehingga ke produk terakhir sebelum dipasarkan. Program ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil serta usahawan koko. Tiga kluster akan dibangunkan di bawah program ini iaitu Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) di Sabah, SARA Cocoa Cluster di Sarawak dan Peninsular Cocoa Belt.


6. RHCC melibatkan 1,015 orang pekebun kecil koko sekitar Ranau yang membekalkan biji koko ke kompleks kluster koko yang akan dibina di Kg. Napong, Ranau. Kompleks ini akan memproses biji koko sehingga terhasilnya produk coklat dan dijenamakan sebagai Highland Single Origin Cocoa. Aktiviti penjualan hasil koko dan coklat akan dipertanggungjawabkan kepada Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad yang dianggotai oleh 148 orang pekebun kecil koko, usahawan koko dan pegawai LKM.


7. YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin turut menyerahkan Bantuan Prihatin Koko 2020 berbentuk insentif input pertanian kepada 2,725 orang pekebun kecil koko di negeri itu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM1.6 juta.


8. Pemberian bantuan input pertanian ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil koko yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 orang pekebun kecil koko di seluruh negara.


Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
22 Ogos 2020