Jata

KENYATAAN MEDIA


INDUSTRI BULUH NEGARA MASUKI FASA BAHARU,
TRANSFORMASI KOMODITI MAMPU TINGKATKAN
UNJURAN EKONOMI


 


1. Industri buluh negara memasuki fasa baharu dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad bagi pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini. Pemeteraian MoA berkenaan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.


2. Pada majlis menandatangani MoA itu, Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani mewakili agensi itu manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Manual itu akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.


3. Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyempurnakan program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan anjuran MTIB itu. Rakyat kini semakin cakna dengan perkembangan komoditi negara dan seiring bersama YB Menteri khususnya dalam usaha untuk membantu meneruskan agenda memperkasakan ekonomi golongan B40.


4. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif untuk pembangunan industri buluh terus dipertingkatkan serta menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara yang lebih mampan.


5. Penggunaan buluh dalam industri tradisonal perlu ditransformasikan ke arah penggunaan untuk penghasilan produk bernilai tambah seperti papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan produk biomass seperti pembuatan arang yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan pasaran domestik malahan juga untuk pengeksportan secara komersial.


6. Malaysia mengeksport sebanyak RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini. Amerika Syarikat adalah pengimport terbesar produk kayu negara dengan nilai sebanyak RM2.87 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Kesan pandemik wabak COVID-19 mengakibatkan penurunan eksport negara sebanyak 9.7 peratus. Daripada jumlah tersebut, eksport buluh dan produk berasaskan buluh adalah sebanyak RM3 juta.


7. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan KPPK serta pemain industri buluh di sekitar negeri ini hadir. Sebanyak empat kertas kerja mengenai industri buluh dibentangkan iaitu Status Industri Buluh Malaysia, Penggunaan Buluh Untuk Bangunan Resort, Penggunaan Buluh Global Dalam Industri Pembinaan dan Rekabentuk Konsep Buluh Kuala Nerus.


8. Bersempena dengan majlis berkenaan, sebuah buku bertajuk ‘Kaedah Rawatan & Teknik Pengawetan Buluh’ terbitan MTIB dengan kolaborasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut dilancarkan. Mengetahui kaedah rawatan dan teknik pengawetan buluh amat penting supaya buluh terselamat daripada serangan agen perosak apabila diaplikasikan untuk kegunaan struktur dan bukan struktur. Buku itu boleh dijadikan rujukan kepada pemain industri yang ingin menceburi industri yang masih baru di negara ini.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
29 Ogos 2020