
KENYATAAN MEDIA
KPPK SUMBANG 200,000 HELAI SARUNG TANGAN
GETAH UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN
1. Gelombang pandemik wabak COVID-19 terus melanda negara dengan Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes positif iaitu mencecah seramai 14,053 orang daripada kumulatif kes seramai 30,090 orang di seluruh negara sehingga semalam.
2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat memahami kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini khususnya petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
3. KPPK sentiasa peka dan prihatin dengan situasi yang mendesak dalam kalangan para petugas barisan hadapan. Sehubungan itu Majlis Getah Malaysia (MRC) iaitu agensi di bawah KPPK telah menyelaraskan sumbangan sebanyak 200,000 helai sarung tangan getah perubatan. Sebanyak 150,000 helai sarung tangan getah telah disumbangkan oleh syarikat YTY dan Top Glove akan diagihkan kepada hospital di Sabah, manakala 50,000 helai lagi daripada MRC adalah untuk hospital di Lembah Klang. Bekalan untuk hospital di Sabah akan diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
4. Sejak wabak COVID-19 melanda negara, KPPK sudah menyumbang sebanyak 21 juta helai sarung tangan getah perubatan yang diselaraskan oleh MRC dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bagi memenuhi keperluan semua petugas barisan hadapan.
5. KPPK amat menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada MRC serta ahli-ahli MARGMA atas sumbangan berkenaan. Diharapkan usaha seperti ini diteruskan malah dapat disertai oleh lebih banyak syarikat-syarikat korporat sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa negara dilanda musibah.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
30 Oktober 2020
