
KENYATAAN MEDIA
KPPK MAHU LAPORAN RASMI YAYASAN PENGGUNA NEGARA
MALAYSIA BERSERTA BUKTI
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil berat dan memandang serius dakwaan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) melalui laporan akhbar UtusanMalaysia yang bertajuk ‘Jual beli minyak sawit haram’ pada 19 September 2020. Laporan itu menyebut kononnya ada agensi kerajaan yang mengawal selia industri sawit tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan kegiatan berkenaan.
2. Selain itu agensi berita, Bernama dan portal Malaysia Gazette pada 21 September 2020 turut menerbitkan berita, masing-masing bertajuk ‘YPNM mohon PM atasi ketirisan industri sawit negara’ dan ‘Ada ‘orang dalam’ bantu sindiket jual minyak pasaran gelap’. Keduadua artikel itu melaporkan Presiden YPNM menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri supaya tindakan diambil ke atas sindiket industri sawit yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.
3. Kementerian menegaskan bahawa setiap aduan yang diterima dikategorikan sebagai amat penting dan disiasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta peruntukan perundangan yang berkuat kuasa. Kementerian juga sedia maklum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengguna pakai Sistem Pemantau Sawit (SPS) sejak tahun 2014 bagi mengawal selia setiap pergerakan kenderaan yang membawa minyak sawit untuk mengelakkan daripada terlibat aktiviti salah laku.
4. Justeru, KPPK meminta pihak yang membuat dakwaan supaya melaporkan perkara ini kepada kementerian dengan mengemukakan bukti-bukti agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil. Kementerian juga menggalakkan agensi dan persatuan industri sawit lain seperti FELCRA, FELDA, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan lainlain untuk emberikan maklum balas berkaitan dakwaan yang dibuat.
5. Sekiranya terbukti terdapat salah laku pegawai, maka tindakan tegasmengikut undang-undang akan dilaksanakan. Kementerian sentiasamengutamakan amalan berintegriti dalam semua urusan kerajaan.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 September 2020
