
KENYATAAN MEDIA
APLIKASI RRIMNIAGA TINGKATKAN AGIHAN IPG DAN
PEMBUKAAN PANEL TOREHAN PESERTA GETAH UNTUK
PRIBUMI (GUP)
1. RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar untuk merekodkan urus niaga getah yang digunakan oleh pelesen/pembeli/peraih yang dibangunkan secara dalaman oleh Lembaga Getah Malaysia.
2. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2015, adalah inisiatif jangka masa panjang untuk menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pekebun kecil getah. Sejak diperkenalkan, sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak RM368.8 juta telah dibelanjakan untuk bayaran tuntutan IPG. Manakala, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020, LGM telah memproses sejumlah 597,086 permohonan tuntutan IPG di seluruh negara dan sebanyak RM125.6 juta telah dibayar.
3. Bagaimanapun hanya sekitar 130,000 pekebun kecil getah yang aktif membuat tuntutan IPG daripada lebih 450,000 pekebun kecil berdaftar. Menyedari jumlah peratusan pemohon IPG adalah rendah, pihak LGM telah menjalankan kajian untuk melihat sebab-sebab mengapa perkara ini berlaku antaranya, didapati proses permohonan IPG adalah agak rumit dan ramai yang layak memohon, tidak mengemukakan tuntutan.
4. Oleh itu, LGM telah mengambil inisiatif dengan membangunkan aplikasi yang dinamakan RRIMniaga, yang dapat mempercepatkan proses permohonan IPG daripada LGM. Kelebihan aplikasi itu ialah, ia berhubung terus dengan sistem
IPG apabila urus niaga getah antara pekebun kecil dengan pembeli berlaku. Pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG kerana sistem RRIMniaga akan merekod transaksi pembelian dan terus menjanakan resit pembelian secara elektronik. Bayaran IPG akan dimasukkan terus ke akaun bank pemohon yang layak.
5. Penggunaan RRIMniaga telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan pada peringkat percubaan selama tempoh hampir 24 bulan. Bermula di Melaka pada tahun Jun 2018, ia kini telah berkembang ke Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Selangor.
6. Melihat kepada kejayaan penggunaan RRIMniaga pada peringkat percubaan tersebut, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengarahkan supaya semua pelesen getah menggunakan aplikasi ini untuk semua transaksi jual beli getah dan penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2021. Ini akan melibatkan sekitar 2,600 peraih getah di seluruh negara.
7. Di Perak, pengenalan RRIMniaga bermula di Hulu Perak dengan taklimat pengenalan melibatkan 10 pelesen yang aktif pada Jun 2020. Sehingga 1 September 2020, seramai 40 pelesen di negeri ini telah menggunakan RRIMNiaga. Sasaran LGM ialah supaya semua 466 peruncit getah negeri ini mahir menggunakan sistem berkenaan menjelang tempoh wajib guna tahun hadapan.
8. Dengan usaha ini proses jual/beli getah akan dipermudahkan dan proses tuntutan IPG bagi semua pihak yang berkelayakan akan dilakukan secara automatik dan atas talian. Penggunaan sistem RRIMniaga dilihat dapat meningkatkan bilangan pekebun kecil getah yang akan menerima manfaat IPG dari kerajaan, sekali gus membantu menjaga kebajikan dan menjamin pendapatan mereka di kala harga getah yang rendah.
Projek Getah Untuk Pribumi (GUP) Sg Perah, Parit, Perak.
9. Kampung Sungai Perah terletak di Daerah Perak Tengah. Komuniti Orang Aslidi Sungai Perah terdiri dari suku Semai. Projek GUP Sungai Perah bermula padatahun 2012. Sehingga Ogos 2020, jumlah peserta ialah seramai 11 orang dan
sem ua peserta GUP telah menjalani operasi torehan dengan baki empat peserta terakhir memulakan torehan pada tahun 2020.
10. Projek GUP Sungai Perah adalah projek contoh kepada pekebun kecil sekitar dengan pemantauan sepenuhnya oleh LGM bermula dari peringkat penyediaan ladang.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
4 September 2020
