KENYATAAN MEDIA

PRESTASI EKSPORT KAYU DAN PRODUK PERKAYUAN YANG BAIK DIUNJURKAN SEHINGGA AKHIR 2020

1. Industri perkayuan merupakan salah satu penyumbang utama pendapatan eksport negara yang juga subsektor ketiga terpenting selepas sawit dan getah. Justeru untuk makluman, pasaran eksport perkayuan Malaysia bagi tempoh Januari-September 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik walaupun di dalam suasana pandemik COVID-19 dengan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 4 peratus. Prestasi eksport bagi tempoh ini telah mencatatkan nilai RM15.7 bilion berbanding RM16.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Peratus penurunan ini adalah rendah dan pasaran kini berada pada fasa pemulihan.

2. Dari segi negara pasaran eksport, pasaran utama kayu dan produk kayu Malaysia yang menunjukan peningkatan positif ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan kedua-dua negara ini mewakili 43 peratus pasaran eksport Malaysia. Bagi tempoh Januari-September 2020, pasaran AS telah meningkatkan pembelian sebanyak 53 peratus kepada RM5.1 bilion.

3. Perang perdagangan antara AS dan China memberi kesan dengan peningkatan permintaan daripada AS terhadap produk perabot negara. Manakala China mencatatkan kenaikan nilai eksport sebanyak 31 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 disebabkan republik berkenaan telah memasuki fasa pemulihan berikutan penularan pandemik COVID-19.

4. Walau bagaimanapun, pasaran kedua terbesar negara iaitu Jepun telah mengalami penurunan sebanyak 22 peratus kepada RM2 bilion. Situasi ini didorong oleh penurunan eksport papan lapis ke negara berkenaan. Manakala pasaran keempat dan kelima terbesar iaitu Australia dan Singapura, masing-masing mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM633 juta dan RM574 juta iaitu penurunan sebanyak 17 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

5. Dalam pada itu, prestasi eksport bagi produk utama bernilai tambah tinggi seperti perabot kayu, tanggam dan kayu kumai secara keseluruhannya merekodkan peningkatan 8 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM8.4 bilion berbanding RM7.8 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala prestasi eksport produk primer utama seperti papan lapis dan kayu gergaji secara keseluruhannya merekodkan penurunan 24 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM3.92 bilion berbanding RM5.18 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

6. Secara keseluruhannya, walaupun negara dan pasaran global sedang berdepan dengan situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, prestasi eksport semasa ini menunjukkan industri kayu negara berada pada fasa pemulihan dan masih berdaya saing. Kementerian berkeyakinan prestasi perdagangan ini akan kembali positif pada hujung tahun ini. Aktiviti perdagangan juga diharapkan dapat dijalankan dengan lebih rancak pada tahun hadapan sebaik pandemik ini berakhir bagi meningkatkan semula prestasi eksport produk perkayuan negara.

 

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
24 November 2020