Jata

KENYATAAN MEDIA
BELANJAWAN 2021: KOMITMEN PACU SEKTOR
PERLADANGAN DAN KOMODITI NEGARA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Abdul Aziz di atas pembentangan Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” di Dewan Rakyat semalam.

2. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen kementerian adalah tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara demi menyokong Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

3. Peruntukan sebanyak RM729,392,200 iaitu RM476,665,900 untuk perbelanjaan mengurus kementerian dan RM252,726,300 perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2021. Ini bermakna KPPK menerima peningkatan sebanyak 8.84 peratus berbanding peruntukan tahun 2020.

4. Antara inisiatif utama KPPK yang diberi keutamaan sejajar dengan peranan kementerian dalam membangunkan Sektor Agrikomoditi di bawah Belanjawan 2021 adalah meliputi perkara-perkara seperti berikut:

 (i)  lnsentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM300 juta ringgit iaitu peningkatan sekali ganda daripada RM150              juta pada tahun ini. Dengan kenaikan tersebut, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat              distabilkan dan akan menerima manfaatnya.

(ii)  Persijilan Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit negara.

(iii) Geran padanan sebanyak RM30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi akan    diperkenalkan;

(iv) Insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks                  berbanding cuplump di Koridor Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan yang bakal dimulakan;

(v) Kawasan perindustrian perabot di Pagoh akan dibuka bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan;

(vi) Dana Pusingan berjumlah RM500 juta ringgit dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan khusus untuk pembangunan ladang hutan berkeluasan 4 hektar dan ke atas;

5. Selain daripada itu, pekerja tempatan yang bekerja di sektor perladangan juga akan menerima manfaat daripada kerajaan di bawah insentif khas apabila sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada mereka yang menggantikan pekerja asing. Insentif berkenaan diberikan untuk tempoh enam bulan bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing.

6. Tahun 2021 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
7 November 2020