KENYATAAN MEDIA

CADANGAN INISIATIF BELANJAWAN 2021 BAGI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI


1. Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bagi sektor perladangan dan komoditi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi tumpuan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

2. Antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G). Namun, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar. Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.

3. Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan. Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan.

4. KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan. Oleh itu, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump. Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan. KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

5. Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya

4 November 2020