Jata
                                                                 TEKNOLOGI RRIM HYDROBEST™ DAN PEMPROSESAN GETAH KRIP TINGKATKAN PRODUKTIVITI KEBUN GETAH                                                                                

  1. YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi kelmarin mengadakan lawatan kerja ke Ladang Bukit Ibam, Muadzam Shah di Pahang. Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Encik Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Pengarah LGM, Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor dan Pengerusi LGM Properties Corporation (LGMPC), Muhammad Ismi Mat Taib.

  2. Ladang Bukit Ibam ditubuhkan pada tahun 1977 dengan keluasan 2,050.20 hektar dan diuruskan oleh LGMPC, sebuah perbadanan di bawah LGM. Ladang ini mengandungi model pemprosesan getah krip serta serum pekat dan penggunaan teknologi RRIM HYDROBEST™.

  3. Teknologi RRIM HYDROBEST™ ialah bahan rangsangan lateks berasaskan air dengan dua fungsi, iaitu meningkatkan pengeluaran lateks dan pada masa yang sama meminimumkan panel torehan menjadi kering. Ia merupakan formulasi berasaskan etefon dan telah diuji kepada pelbagai klon siri 2000 dan juga klon RRIM 3001. Diharapkan teknologi ini digunakan oleh pekebun kecil seluruh Malaysia bagi meningkatkan produktiviti kebun getah.

  4. Dalam usaha meningkatkan peranan dan taraf ekonomi pekebun kecil getah di samping terlibat secara langsung dalam rantaian pasaran getah, LGM memperkenalkan model pemprosesan getah krip. Model ini memberi peluang kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti di sektor huluan, pengawalan kualiti bahan mentah serta pemprosesan getah.

  5. Model ini juga boleh digunakan sebagai rujukan kepada koperasi atau usahawan pekebun kecil bagi menghasilkan getah krip sebagai getah separa siap yang mempunyai ciri-ciri keseragaman dan kualiti baik di samping penghasilan serum pekat sebagai bahan tambah nilai.

  6. Ia menekankan konsep zero waste yang mana bahan buangan daripada aktiviti pemprosesan diguna semula dan diproses bagi menghasilkan bahan nilai tambah yang berpotensi untuk digunakan dalam sektor tertentu. Koperasi atau usahawan yang berminat untuk menerajui bidang pemprosesan getah krip serta serum pekat ini akan dibimbing oleh LGM.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Putrajaya

16 September 2020