IBS KENAF PEMANGKIN PENJANAAN PENDAPATAN BAHARU KONTRAKTOR TEMPATAN

1. YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Peringkat Terengganu yang bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan sasar khususnya dalam sektor pembinaan berkaitan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf di negeri ini.

2. Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu ini akan dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan seterusnya menarik lebih ramai golongan berkenaan mengadaptasi penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.

3. Pelaksanaan kursus ini juga selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar, dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri pembuatan termasuk pembinaan.

4. Program khusus ini dirangka oleh LKTN turut mendapat kerjasama daripada pihak swasta. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada kontraktor pembinaan tempatan telah terpilih menghadiri kursus ini.

5. Kursus ini bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pengetahuan para peserta malah turut membuka peluang dalam menjana pendapatan dan mewujudkan jaringan perniagaan melalui aktiviti pemadanan perniagaan.

6. Selain itu, ia juga bakal mewujudkan usahawan-usahawan baharu dalam industri pembinaan berasaskan IBS kenaf bukan sahaja di Terengganu malah ke negeri-negeri yang lain.

7. Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program-program berkaitan pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi kepada pihak-pihak yang berkepentingan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa bagi menjamin sosioekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuala Terengganu
12 September 2020