KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN DAN
YB TUAN ANYI NGAU, KE LEMBAGA KOKO MALAYSIA,
NILAI , 24 JUN 2020

1. YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta YB Tuan Anyi Ngau, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah melawat Pusat Inovasi & Teknologi Koko (PITK), LKM di Nilai, Negeri Sembilan pada 24 Jun 2020 buat julung kalinya.

2. Semasa lawatan tersebut, YB Willie Mongin dan YB Anyi Ngau telah diberi taklimat pengenalan mengenai LKM serta mengenai fungsi dan peranan PITK Nilai yang merangkumi penyelidikan dalam bidang pemprosesan koko, pembangunan produk, peningkatan kualiti dan penyelenggaraan produk koko. Selain itu, pusat ini juga menawarkan kursus pembuatan coklat buatan tangan, kursus coklat panning, kursus sensori coklat serta menjalankan aktiviti pelesenan dan penggredan. Di samping itu, PITK juga menjalankan penyelidikan bagi pembangunan produk bukan makanan berasaskan koko. Antara produk bukan makanan yang telah berjaya dikomersialkan adalah produk ubat gigi dan produk mandian berasaskan koko.

3. Semasa lawatan di sekitar kompleks PITK, LKM telah memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di PITK Nilai seperti analisis produk-produk koko, pengeluaran blok coklat untuk usahawan coklat bimbingan LKM dan penyewaan mesin Makmal Rintis Coklat. LKM juga mempamerkan hasil-hasil penyelidikan LKM.

4. YB Anyi, telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas pemberian bantuan input pertanian di bawah Pakej Rangsangan PRE PRIHATIN 2020 sebanyak RM2.69 juta kepada 4,566 orang pekebun kecil koko yang layak bagi kawasan tanaman koko seluas 3,134 hektar di seluruh negara. Pemberian bantuan ini akan membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19. Beliau juga telah menekankan harapan beliau supaya peranan dan fungsi LKM di perkasa bagi memacu pembangunan industri koko negara.

LEMBAGA KOKO MALAYSIA
24 JUN 2020