
KENYATAAN MEDIA
PEMBANGUNAN PERUSAHAAN PRODUK KARAS/GAHARU AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN DENGAN NILAI EKSPORT RM8.8 JUTA
1. Lawatan kerja ke kilang pemprosesan Pati Minyak Gaharu (PMG) adalah yang kali pertama sejak YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertujuan untuk melihat pembangunan perusahaan pembuatan PMG di negara ini.
2. Selain itu, menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat di dalam sektor industri gaharu bermula dengan fasa perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan PMG dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.
3. Industri penanaman karas terus berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang di Malaysia. Sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat/individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta. Jumlah pengeksport/pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat/individu adalah pengilang PMG manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia.
4. YB Menteri turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri gaharu untuk mendengar pandangan mereka dalam usaha memperluaskan lagi potensi industri ini sehingga ke peringkat hiliran seperti usahawan wangian berasaskan gaharu dan lain-lain.
5. Penjualan hasil karas/gaharu masih banyak bergantung kepada pokok karas hutan dan tertakluk dengan kuota tahunan berdasarkan garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES). Sepanjang tahun 2018 dan 2019, KPPK melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas/gaharu adalah sebanyak 150,000 kilogram (kg).
6. Nilai eksport produk karas/gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), PMG (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta). Manakala, sebanyak 3,742.40 kg PMG telah dieskport pada tahun yang sama.
7. Bagi meningkatkan pengeluaran dan jualan hasil karas, penekanan perlu diberi kepada pengeluaran ladang yang memerlukan proses inokulasi yang tepat supaya dapat menghasilkan gaharu. Pokok karas yang berjumlah lebih 2.3 juta di ladang negara ini, perlu dipastikan mampu menghasilkan gaharu dan penanam tidak terbeban untuk menggunakan kaedah inokulasi yang tepat.
8. Kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas/gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain. MTIB juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menyokong industri ini.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Kuala Balah, Jeli, Kelantan
21 Jun 2020
