
KENYATAAN MEDIA
LAWATAN YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI KE SIBURAN DAN SERIAN SARAWAK
BAGI MENINJAU KEMAJUAN INDUSTRI GETAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mempergiat usaha menarik lebih ramai pekebun kecil untuk membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) terutama ketika harga getah rendah termasuk di Sarawak.
2. Dianggarkan tidak sampai 2% pekebun kecil Sarawak yang menuntut insentif berkenaan. Berdasarkan pemilikan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), pekebun kecil di negeri itu adalah seramai 57,108 atau 12.5% daripada keseluruhan PAT-G Malaysia.
3. Pada hari ini 9 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke dua buah kilang memproses getah iaitu Kilang Lung Kong Rubber Sdn. Bhd., Siburan dan Kilang Hwah Yang Sdn Bhd, Serian, Sarawak.
4. Hampir keseluruhan getah asli ini dikeluarkan oleh pekebun kecil berbanding estet yang berada di Sarawak. Pada masa ini, hampir 18% penanaman getah Malaysia adalah di Sarawak membabitkan 7.2 ribu tan 2 atau 1.1% daripada sejumlah 639.8 ribu tan getah Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2019.
5. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat perkembangan industri getah di Bumi Kenyalang dan mengenal pasti isu serta cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut terutama sewaktu negara menghadapi pandemik COVID-19 pada masa ini.
6. Dua buah kilang pemproses yang dilawati ini berupaya memproses getah sebanyak 115 tan sehari dan lebih 50% getah asli yang diperolehi adalah diimport dari luar negara.
7. Di Sarawak, terdapat 9 buah syarikat yang terlibat di dalam industri hiliran iaitu syarikat pengeluaran tayar celup (retreader) dan tayar terpakai. Dalam hal ini, industri hiliran getah disaran untuk dikembangkan dan dipertingkatkan lagi bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
8. Lawatan ini dijangka dapat membantu pihak Kementerian untuk memastikan perancangan program dan aktiviti bagi pemulihan semula ekonomi negara terutama kepada industri getah dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan.
9. Pemulihan semula industri getah adalah penting agar industri ini terus menjadi antara penyumbang utama kepada penjanaan ekonomi negara melalui pendapatan eksport tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang kini menjadi amalan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 JUN 2020
