
KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI
KENYATAAN MEDIA
LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KOTA SAMARAHAN, SARAWAK BAGI MENINJAU KEMAJUAN PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO
1. Pada hari ini, 5 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak bagi meninjau perkembangan dan kemajuan terkini pembangunan kompleks SARA Cocoa Cluster.
2. SARA Cocoa Cluster merupakan kawasan penanaman koko yang tertumpu di Sebuyau, Asajaya, Kota Samarahan dan Padawan yang turut melibatkan kawasan parlimen Puncak Borneo. SARA Cocoa Cluster ini dicadangkan untuk diperluaskan lagi sehingga merangkumi kawasan Tebedu dan Serian. Di negeri Sarawak, keluasan tanaman koko adalah seluas 860 hektar dengan seramai 1,138 orang pekebun kecil koko.
3. Program Pembangunan Rantaian Cocoa Cluster merupakan game changer di peringkat huluan koko yang telah dirangka oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan dilaksanakan mengikut konsep Farm to Table iaitu model beans to chocolate.
4. Melalui pelaksanaan program ini, pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko serta komuniti setempat dapat ditingkatkan. Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi bagi tanaman baru yang berpotensi untuk dimajukan. Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pekebun kecil yang hendak meluaskan kebun atau menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggarakan. Sebanyak RM12.8 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tujuan ini.
5. Di bawah Pakej Rangsangan PRE PRIHATIN 2020, Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta bagi 3,895 hektar kebun koko dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,943 pekebun kecil koko yang layak. Pemberian bantuan ini diharap dapat membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19 bagi tujuan penyelenggaraan kebun.
6. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program-program bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko dan seterusnya pembangunan industri koko negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 Jun 2020
