Jata

KENYATAAN MEDIA


SUMBANGAN SARUNG TANGAN PERUBATAN BAGI BANTUAN
KEMANUSIAAN COVID-19 DARIPADA SMART GLOVE
CORPORATION SDN BHD DAN MAJLIS PROMOSI EKSPORT
GETAH MALAYSIA (MREPC)


 


Selaku Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan Syarikat Smart Glove Corporation Sdn. Bhd. masing-masing menyumbang sebanyak 500,000 sarung tangan getah dan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1 juta
yang disalurkan kepada pihak Kementerian. Pihak Kementerian telah mengenal pasti khasnya petugas-petugas di barisan hadapan (FrontLiners) untuk diagihkan bekalan ini bagi kegunaan mereka.


Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia. Malaysia juga merupakan pembekal utama sarung tangan getah kepada sektor perubatan yang kini berhadapan dengan keadaan yang kritikal iaitu COVID-19.Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) adalah salah satu agensi di Kementerian ini yang bertanggungjawab mempromosikan  produk getah domestik terutama sarung tangan, kateter, seismic bearing dan sebagainya ke luar negara.

MREPC bekerjasama erat dengan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) di dalam memastikan sarung tangan standard Malaysia terus menjadi pilihan utama dunia.


MARGMA menganggarkan keperluan global sarung tangan getah adalah sebanyak 330 bilion unit. Eksport Malaysia pada tahun ini sahaja dijangkakan sebanyak 225 bilion unit setahun, yang bernilai lebih RM20 bilion berbanding dengan 170 bilion unit tahun lepas yang menjana pendapatan eksport sebanyak RM17.3 bilion. Industri sarung tangan getah negara kita amat penting kerana eksport dari Malaysia memenuhi 65% daripada permintaan global.


Di atas kepentingan ini, Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah bersetuju menyenaraikan kilang peranti perubatan dan pembedahan terutamanya pembuatan sarung tangan untuk terus beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.


Selain memberi tumpuan kepada sektor getah, saya juga ingin menasihatkan semua pengusaha getah yang beroperasi dan mendapat kelonggaran semasa musim wabak COVID-19 ini, supaya mereka sentiasa patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Ini bagi membolehkan mereka beroperasi tanpa menyalahi undang-undang yang telah
ditetapkan oleh pihak Kerajaan.


Baru-baru ini kita telah menerima laporan tentang 2 kilang sarung tangan getah perubatan yang dikenalpasti telah melanggar peraturan yang menyebabkan pencemaran alam sekitar di negara kita. Kita tidak mahu perkara ini berulang dan saya memohon kepada semua pengusaha industri getah supaya patuh kepada semua arahan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan Kementerian.


YB TUAN WILLIE MONGIN
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
16 April 20