
KENYATAAN MEDIA
JUMLAH DAGANGAN SEKTOR AGRIKOMODITI JAN-JUN 2020
RM82 BILION BERBANDING JAN-JUN 2019
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali bersama delegasi melakukan kunjungan hormat ke atas Yang diPertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Ayer Keroh, Melaka.
2. Kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan kepada TYT Tun mengenai hal ehwal semasa dan hala tuju sektor agrikomoditi negara, khususnya peranan dan penglibatan negeri Melaka dalam sektor ini dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
3. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2020, sektor agrikomoditi menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM63.7 bilion berbanding RM61.1 bilion bagi tempoh sama tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus. Jumlah dagangan sektor itu bagi tempoh sama tahun 2020 ialah sebanyak RM82 bilion berbanding tahun 2019 sebanyak RM79.8 bilion dengan peningkatan sebanyak 2.74 peratus. Imbangan dagangan enam bulan pertama 2020
mencatatkan nilai positif RM45.5 bilion berbanding RM42.3 bilion dalam tempoh sama tahun 2019. Hampir sejuta pekebun kecil orang yang terlibat dalam sektor ini dengan keluasan 2.44 juta hektar atau 34.7 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman agrikomoditi negara.
4. Secara khusus, sektor agrikomoditi di Melaka meliputi kawasan tanaman sawit seluas 57,340 hektar, getah 14,115 hektar, koko 18 hektar, lada 10 hektar dan kenaf 13 hektar dengan penglibatan seramai 12,412 pekebun kecil. Negeri ini mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 110,509 tan, getah 15,400 tan, lada 48 tan dan kenaf 121 tan dengan nilai sumbangan sekitar RM300 juta sepanjang tahun 2019.
5. Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan projek rintis aplikasi telefon pintar RRIMniaga mulai Jun 2018 melibatkan tiga pelesen. Sehingga Julai lalu, 47 peniaga getah telah mengguna pakai aplikasi itu dan memberi manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada 2,690 orang pekebun kecil yang merupakan pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).
6. Bagi sektor kayu-kayan, kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Malacensis Sdn Bhd. dalam membangunkan ladang karas di Empangan Jus, Jasin Melaka sedang giat dijalankan bagi menilai kaedah inokulasi terbaik supaya penanam pokok karas dapat memaksimumkan pendapatan melalui penghasilan gaharu yang terbaik.
7. Untuk sektor koko, KPPK dan kerajaan negeri akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan ‘Malacca Chocolate City’ menerusi pembangunan industri hiliran koko berasaskan agropelancongan dan dengan mengeluarkan produk-produk koko beridentitikan Melaka.
8. Selain itu, KPPK juga menyediakan pelbagai insentif dan dana kepada sektor agikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh peladang dan pekebun kecil di Melaka, terutamanya golongan B40, antaranya melalui KPSM, Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40), Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), IPG dan Insentif Tanaman Kenaf Bagi Pengeluaran Batang dan Insentif Belian Batang Kenaf.
9. Justeru, KPPK berharap kerjasama erat dicapai bersama kerajaan negeri untuk membantu menghebahkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat kepada pekebun kecil di Melaka. Dana dan insentif yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan mereka.
YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
27 Ogos 2020
