Jata

KENYATAAN MEDIA


KPPK KOMITED TERUSKAN KEMPEN GOLONGAN MUDA
BEKERJA DALAM SEKTOR PERLADANGAN SAWIT


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semalam melawat ladang sawit milik TDM Plantation Sdn Bhd di Sungai Tong, Setiu, Terengganu untuk meninjau kerja-kerja perladangan yang dilakukan oleh pekerja di ladang terbabit.


2. TDM Plantation Sdn Bhd memiliki estet seluas 3,000 hektar dengan pengeluaransebanyak 7,000 tan sebulan dan menghasilkan minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 2,000 tan sebulan. Estet ini memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan
Malaysia (MSPO) dan pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO).


3. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) komited akan meneruskan kempen dalam usaha menggalakkan golongan muda untuk bekerja di ladang sawit kerana ia adalah sektor yang amat menguntungkan selain menjamin masa hadapan. Pada masa ini terdapat 35,000 lagi peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan, yang menjanjikan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selain turut disediakan tempat tinggal serta fasiliti terbaik oleh syarikat-syarikat perladangan di seluruh negara.


4. Kerajaan berpendirian pentingnya warga tempatan diberikan peluang untuk bekerja di ladang menggantikan warga asing seiring dengan polisi terkini yangtidak membenarkan lagi kemasukkan pekerja asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.


5. Syarikat itu turut mengalami penyusutan pekerja mahir hampir 40 peratus, kerana itu YB Menteri menyeru golongan muda supaya menceburi bidang perladangan sawit yang lebih menguntungkan kerana sektor lain yang lebih sukar,
membebankan dan rumit tidak membawa pulangan yang setimpal dengan hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sahaja. Pembabitan golongan muda akan menambahkan lagi perolehan hasil ladang sawit di negara ini.

6. Slogan 'Sawit Anugerah Tuhan' diperkenalkan YB Dato’ Dr Khairuddin kerana komoditi nombor satu negara itu adalah kurniaan Tuhan yang memiliki segala kelebihan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara serta hasilnya yang berkhasiat yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia.


7. KPPK berharap sektor ini mampu menarik minat golongan muda untukmemajukannya kerana ia berupaya menjamin masa hadapan, apatah lagi dengan harga minyak sawit dunia yang stabil di peringkat antarabangsa.


YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 September 2020